Jika anda seorang penduduk yang menetap di Bandar Simanggang semenjak 20 tahun yang lepas maka nama Kesatuan Soon Heng di sini mungkin tidak asing lagi di telinga diri masing-masing.
Ini kerana Kesatuan Soon Heng Simanggang amat terkenal dengan khidmat sosial kebudayaan seperti menganjur Perarakan Dewa Dewi sempena Perayaan Cap Goh Mei atau Festival Hantu Lapar yang sering menarik perhatian penduduk di bandar ini.
Bagaimanapun di sebalik populariti mereka dalam melaksana aktiviti itu, mungkin ramai penduduk Sri Aman tidak menyedari bahawa Kesatuan Soon Heng Simanggang juga turut bertindak melaksana aktiviti khidmat sosial pendidikan di kawasan ini.
Salah satu aktiviti khidmat sosial pendidikan yang dilaksana oleh kesatuan berkenaan adalah lawatan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Stumbin bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ke-47 pada September lepas.
Kunjungan ke pusat berkenaan telah pun diketuai oleh Setiausahanya, Goh Kaw Sze bersama dengan Ketua Pemuda, Tan Ting Lung, Ketua Wanita, Tan Mooi Hiang dan 11 orang ahli kesatuan yang lain.
Ketibaan rombongan kesatuan berkenaan telah disambut oleh Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sri Aman, Hazrul Ahmad, Penyelia PPDK Stumbin, Khadijah Kamil, Pengerusinya, Rozali Toman bersama dengan para petugas dan pelatih di situ.
Sebaik sahaja tiba, Rozali telah pun bertindak menyampaikan taklimat ringkas mengenai PPDK Stumbin yang telah ditubuhkan pada tahun 2018 dan menjadi PPDK ‘termuda’ di Bahagian Sri Aman buat masa sekarang.
“Buat masa kini, PPDK Stumbin sedang beroperasi di bangunan lama Masjid Kampung Stumbin dengan pihak kami amatlah mengalu-alukan tindakan orang ramai yang mahu memberi sumbangan kepada pusat ini nanti.
“Sumbangan itu nanti pasti akan dapat mewujud suasana pembelajaran yang lebih kondusif di PPDK ini…justeru jika ingin berbuat demikian maka bolehlah menghubungi kami di talian 0147011292 bagi tujuan urusan lanjut kelak,” kata Rozali.
Sementara itu Goh ketika ditemui memberitahu antara tujuan utama lawatan ini diadakan adalah untuk meninjau tahap pembelajaran kondusif dalam PPDK Stumbin yang beroperasi di bangunan lama masjid lama di situ.
Selain meninjau tahap berkenaan, kehadiran Kesatuan Soon Heng Simanggang katanya juga adalah penting demi menguatkan semangat ibu bapa yang menemani sesi pembelajaran para pelatih (anak Orang Kelainan Upaya) masing-masing di situ.
“Dengan adanya lawatan ini maka Kesatuan Soon Heng Simanggang bukan sahaja dilihat aktif dalam melaksana aktiviti sosial kebudayaan dan keagamaan malah aktif dalam melaksana aktiviti sosial pendidikan di Daerah Sri Aman,” kata Goh.
Beliau juga menambah bahawa Kesatuan Soon Heng Simanggang turut menguruskan Tokong Ciyun dan Tadika Simanggang di samping mengelola pesta serta perarakan perayaan Cap Goh Mei di bandar ini pada setiap tahun.
“Kesatuan Soon Heng Simanggang akan terus melaksana khidmat sosial di sekitar kawasan Sri Aman bagi melengkapkan pembabitan kami dalam aspek kebajikan, keagamaan, pendidikan dan kebudayaan dalam daerah ini,” kata Goh.
Kesatuan Soon Heng Simanggang pada kunjungan berkenaan telah menyampaikan buah tangan kepada 28 orang pelatih di situ sebelum ia diakhiri dengan upacara mengibar bendera Jalur Gemilang secara bersama.
Oleh VALENTINE NGUMBANG