
KUCHING: DAPSY Stampin baru-baru ini mengadakan pemilihan cawangan yang menyaksikan Ketua DAPSY Stampin, Soo Tien Ren, memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya selepas berjaya membangunkan semula sayap pemuda parti itu di kawasan berkenaan.
Beliau akan digantikan oleh Sylverster Lim Kai Bin, yang telah lama aktif dalam gerakan budaya dan pembangunan komuniti belia di Kuching.
Soo berkata, usaha membangunkan semula DAPSY Stampin sebelum ini bertujuan menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk terlibat dalam politik, berkhidmat kepada masyarakat serta memperjuangkan nilai dan aspirasi yang mereka yakini.
Menurut beliau, selepas DAPSY Stampin semakin tersusun dan kukuh, sudah tiba masanya lebih ramai anak muda tampil ke hadapan untuk memikul tanggungjawab dan memainkan peranan kepimpinan.
Beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua DAPSY Sarawak berkata, beliau berharap dapat menyerahkan platform DAPSY Stampin kepada generasi pemimpin muda baharu bagi membuka ruang kepada lebih ramai belia daripada pelbagai latar belakang untuk terlibat dalam hal ehwal awam serta menyumbang kepada pembangunan Stampin, Kuching dan Sarawak.
“Politik tidak sepatutnya menjadi pentas yang hanya dimiliki oleh segelintir pihak. Politik belia perlu terus diperbaharui dan baton kepimpinan mesti diserahkan kepada generasi seterusnya.
“Kami mahu memberi lebih ramai anak muda peluang merealisasikan impian mereka serta memperjuangkan perubahan yang diyakini,” katanya.
Soo turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Sylverster, yang menurutnya telah lama aktif dalam pelbagai gerakan belia di Kuching.
Selain giat mempromosikan budaya tarian singa, Sylverster juga merupakan jurulatih bola sepak dan pernah menganjurkan beberapa kejohanan bola sepak peringkat negeri. Beliau turut mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai kumpulan belia di kawasan tersebut.
Soo menyifatkan Sylverster sebagai seorang pemimpin muda yang bukan sahaja cekap melaksanakan tugas, malah berupaya memimpin pasukan, menyatukan golongan muda dan menterjemahkan idea kepada tindakan.
“Beliau bukan sekadar bercakap, tetapi seorang yang sanggup bekerja, mengatur dan memikul tanggungjawab. Saya yakin di bawah kepimpinannya, DAPSY Stampin akan terus berkembang dan membawa hala tuju yang mencerminkan aspirasi generasi muda,” katanya.
Soo menegaskan pengundurannya sebagai Ketua DAPSY Stampin tidak bermakna beliau akan meninggalkan usaha pembangunan belia di kawasan itu.
Sebaliknya, beliau akan terus memberikan sokongan penuh kepada Sylverster dalam menerajui DAPSY Stampin, selain bekerjasama dengan pemimpin muda lain di peringkat DAPSY Sarawak untuk memperkukuh penglibatan belia dalam hal ehwal awam, khidmat masyarakat, aktiviti budaya dan sukan serta latihan politik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan seperjuangan, golongan muda dan komuniti setempat yang telah menyokong usaha membangunkan semula DAPSY Stampin.
Katanya, DAPSY Stampin akan terus menjadi platform yang menghubungkan golongan muda dengan masyarakat agar mereka bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi tenaga penting yang memacu perubahan.
Oleh Connie Chieng