DOHA: Bintang Korea Selatan, Son Heung-min mahu rakan sepasukan mencipta satu lagi kejutan dengan menewaskan Brazil pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia Isnin ini selepas mempamerkan aksi penuh keberanian ketika menentang Portugal.
Pengembaraan Korea Selatan tampak hampir pasti berakhir sehinggalah pemain gantian Hwang Hee-chan dimasukkan pada masa kecederaan untuk meledak jaringan kemenangan 2-1 ke atas Portugal yang sudah pun melayakkan diri di Qatar, Jumaat lalu.
Sikap dipamerkan itu mendorong mereka mara ke pusingan kalah mati dan bertemu Brazil, sebuah pasukan yang menjadi pilihan utama kejohanan.
Namun, Son yang bermain menggunakan topeng kerana menjalani pembedahan bulan lalu susulan retak di bahagian mata kiri, berkata mereka masih belum bersedia untuk ‘pulang awal’.
Dengan kejutan demi kejutan dalam kejohanan kali ini, Korea kini mahu mengintai peluang untuk melakar kejutan.
“Sesuatu yang hebat, tetapi kejohanan kami masih belum berakhir,” kata penyerang Spurs selepas kemenangan penuh dramatik ke atas Portugal.
“Kami sering bercakap mengenai mara ke pusingan 16 terbaik sebagai objektif, tetapi kami kini mahu mencuba untuk melepasinya.
“Saya harap kami boleh melakukan kejutan yang lain,” katanya yang turut membantu mencipta gerakan menghasilkan gol oleh Hwang selepas melakukan larian solo yang mengatasi pertahanan Portugal.
Peminat di Korea Selatan mula membandingkan pasukan kali ini dengan pencapaian skuad kebangsaan pada 2002 yang mengejutkan dunia mara ke separuh akhir.
Penolong jurulatih, Sergio Costa yang mengambilalih tugas ketika pertembungan Kumpulan H dengan Portugal selepas jurulatih Paulo Bento digantung, begitupun menolak perbandingan berkenaan.
“Saya tidak boleh membuat perbandingan kerana menonton Piala Dunia 2002 di televisyen dan tidak tahu mereka secara peribadi,” kata Costa.
“Saya menonton beberapa perlawanan daripada sebelum ini, tetapi tidak boleh membuat perbandingan kerana saya tidak tahu pasukan Korea yang sebelumnya.
“Sekarang ini, saya hanya boleh memberitahu kamu, ini adalah sebuah pasukan yang sangat jujur. Ini adalah sesuatu yang kami sangat banggakan, kami melihat pemain yang mempunyai personaliti kuat dan mereka layak dengan apa yang dicapai.” – AFP