
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN (SOM) hari ini memberi penghormatan kepada bekas Presiden Vietnam mendiang Tran Duc Luong yang meninggal dunia Selasa lepas.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin merakamkan ucapan takziah negara dan mengiktiraf sumbangan bekas pemimpin itu, terutama dalam konteks kerjasama ASEAN.
“Bagi pihak Malaysia, kami mengucapkan takziah atas pemergian bekas presiden itu.
“Perdana Menteri kami (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menyampaikan rasa simpatinya kepada kerajaan dan rakyat Vietnam, melahirkan rasa dukacita dan mengiktiraf jasa serta dedikasi mendiang pemimpin itu kepada negara,” katanya sebelum mesyuarat dimulakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
SOM adalah fasa persediaan utama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 27 Mei.
Sesi itu dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Amran yang mengucapkan selamat datang kepada ketua-ketua SOM ASEAN, wakil SOM Timor-Leste dan pegawai-pegawai dari Sekretariat ASEAN ke mesyuarat itu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ pada 26 dan 27 Mei di KLCC ini menghimpunkan pemimpin-pemimpin dari negara anggota blok itu untuk membincangkan isu-isu serantau, memupuk kerjasama ekonomi dan memajukan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Kuala Lumpur juga akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya.
Dua hari lepas Anwar dalam catatan di Facebook telah merakamkan ucapan takziah dan menyatakan bahawa mendiang presiden itu berkhidmat semasa era penting dalam sejarah Vietnam, memainkan peranan teguh bagi mendukung semangat reformasi Doi Moi (ekonomi).
Tran Duc Luong meninggal dunia Selasa lepas pada usia 88 tahun di kediamannya di Hanoi.
Beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Vietnam dari September 1992 hingga Ogos 1997, dan kemudiannya sebagai Presiden Republik Sosialis Vietnam dari September 1997 hingga Jun 2006. — Bernama