Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sokongan Sarawak asas kestabilan politik negara – PM Anwar
  • SEMASA

Sokongan Sarawak asas kestabilan politik negara – PM Anwar

Utusan Sarawak 2 days ago
PERDANA Menteri ketika berucap pada majlis makan malam bersama komuniti sempena lawatan beliau ke Sarawak di sebuah hotel terkemuka, malam tadi. Foto UKAS

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kestabilan politik Malaysia hari ini banyak didukung oleh hubungan erat dan kerjasama kukuh kerajaan Sarawak yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, sepanjang hampir tiga tahun memimpin negara, sokongan berterusan Sarawak telah memberi kekuatan kepada kerajaan Persekutuan untuk terus menumpukan kepada agenda pembangunan rakyat tanpa digugat pergolakan politik.

“Saudara saya, Premier Abang Jo, memberikan dukungan yang sangat padu. Sepak terajang politik tidak mengganggu kami kerana hubungan baik antara Persekutuan dan Sarawak ini memberi keyakinan untuk kita bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama komuniti sempena lawatan rasmi beliau ke Sarawak di sebuah hotel terkemuka malam tadi.

Tambah beliau, kestabilan politik merupakan elemen penting bagi meyakinkan pelabur luar, melaksanakan transformasi ekonomi dan menjayakan dasar baharu kerajaan.

“Kalau politik tidak stabil, mustahil kita boleh merangkak, apatah lagi melangkah lebih jauh. Pelabur juga tidak akan yakin. Alhamdulillah, dengan kestabilan ini kita boleh beri tumpuan pada dasar transformasi tenaga, digital dan pembangunan sosial,” jelasnya.

Mengimbas sejarah pembentukan Malaysia, Perdana Menteri turut menekankan bahawa semangat kerjasama dan saling percaya yang dipamerkan oleh pemimpin Sarawak terdahulu menjadi asas kekuatan negara hari ini.

“Tokoh-tokoh Sarawak yang bersama menubuhkan Malaysia mungkin tidak mempunyai pendidikan tinggi seperti kita sekarang, tetapi mereka ada keikhlasan, kejujuran, dan semangat cintakan rakyat serta wawasan untuk masa depan negara. Itu yang perlu kita warisi.”

Beliau turut menegaskan pentingnya mengekalkan kestabilan politik dengan mengelak sentimen perkauman dan keagamaan yang boleh menggugat perpaduan rakyat.

“Kalau kita jaga negeri ini dengan baik, jagalah perpaduan kita, maka kita boleh tumpu kepada membina ekonomi, teknologi dan bakat anak muda untuk menghadapi cabaran dunia.”

Perdana Menteri juga menzahirkan penghargaan kepada Sarawak yang bukan sahaja memberi dukungan politik, malah menjadi rakan penting dalam agenda tenaga hijau negara, termasuk teknologi hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Oleh Masrin Affirah

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bukti komitmen kepada Sarawak – Premier Sarawak
Next: AirAsia perluas rangkaian, lancarkan laluan baharu Kuching dan KL ke Pontianak, Indonesia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.