KUALA LUMPUR: Parti Perikatan Nasional (PN) sebulat suara bersetuju mencalonkan mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri kerajaan PN yang baharu dengan bersyarat, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Perdana Menteri Sementara berkata, sekiranya dilantik menjawat jawatan itu oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Ismail Sabri perlu memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah mereka yang berintergriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah.
“Kerajaan di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berpelembagaan,” katanya, dalam kenyataan semalam.
Muhyiddin berkata, sebelum itu, semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti gabungan PN iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat Bersatu, PAS (18), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (seorang), Bebas pro PN (empat) telah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara semalam, bagi menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri.
Menurutnya keputusan untuk mencalonkan Naib Presiden UMNO itu dilakukan demi kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN, yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum.