
KUCHING: Penduduk Taman Desa Wira menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Taman Desa Wira Fasa 2 yang dilihat mampu menyelesaikan masalah banjir berlarutan di kawasan berkenaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Law Wee, mendedahkan isu utama yang disuarakan oleh penduduk ialah cadangan pembinaan kolam takungan yang dikhuatiri menjadi tempat pengumpulan sampah sehingga menimbulkan bau serta mencemarkan persekitaran.
“Kami telah menjalankan penilaian serta kerja kejuruteraan dengan teliti. Kerja-kerja pengukuhan di sekitar kolam akan dilaksanakan selepas pembinaan siap. Ini bermakna tiada risiko rumah rosak, tanah mendap atau terjejas,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas sidang media di Dewan Serbaguna Taman Desa Ria, Batu Kawa, hari ini.

Beliau turut menjawab kebimbangan bahawa pembinaan kolam berkenaan mungkin menjejaskan nilai hartanah atau menyebabkan rumah penduduk tenggelam.
“Desa Wira sudah lama dikenali sebagai kawasan yang sering dilanda banjir dan persepsi tersebut telah memberi kesan terhadap harga hartanah setempat.
“Apabila masalah banjir dapat diatasi, katanya, nilai hartanah berpotensi meningkat berikutan kedudukan strategik Desa Wira yang terletak di Batu Kawa dan berhampiran kawasan pembangunan pesat seperti MJC serta pusat komersial baharu,” ujarnya.
Mengulas isu pengurusan sampah di kolam takungan, Law Wee berkata sistem moden akan digunakan termasuk pemasangan penapis dan peralatan automatik bagi mengutip sisa.
Jentera pengaut automatik akan mengangkat sampah dan memasukkannya ke dalam tong sebelum diangkut lori secara berkala.
Menurutnya, sistem sama telah dilaksanakan di beberapa kawasan lain seperti Bau, Sibu dan Bintulu tanpa sebarang masalah.
Selain fungsi tebatan banjir, reka bentuk projek turut merangkumi penanaman pokok, pembinaan laluan berjoging dan kemudahan rekreasi bagi mewujudkan ruang hijau untuk komuniti setempat.
Pendekatan itu bukan sahaja memperindah kawasan, malah berpotensi meningkatkan nilai persekitaran kejiranan.
Dari segi peruntukan, beliau memaklumkan Fasa 2 melibatkan kos kira-kira RM44 juta manakala Fasa 1 melebihi RM20 juta, menjadikan keseluruhan pembiayaan lebih RM60 juta yang disalurkan oleh kerajaan Sarawak.
Beliau menegaskan projek berkenaan merupakan intervensi kerajaan memandangkan pemaju swasta kurang cenderung melaksanakan pembangunan berskala besar di kawasan yang berdepan isu banjir.
Mengulas perkembangan semasa, Law Wee berkata Fasa 1 hanya melibatkan sebahagian kawasan dan kesan menyeluruh hanya dapat dilihat selepas Fasa 2 siap sepenuhnya, yang dijangka sekitar Julai 2027.
Tambahnya, kolam takungan pertama juga belum siap sepenuhnya, justeru sistem belum berfungsi secara menyeluruh.
“Lebih 20,000 penduduk terjejas akibat banjir di kawasan tersebut, dengan kira-kira 3,800 orang mengalami impak paling teruk. Kejadian banjir dilaporkan berlaku berulang kali termasuk bulan lepas,” katanya.
Walaupun pihaknya tidak dapat menjamin penghapusan banjir sepenuhnya, objektif utama adalah mengurangkan kejadian banjir secara ketara di seluruh Desa Wira.
Oleh Adele Rissa