BETONG: Sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan, serta keutuhan perpaduan yang disemai oleh penduduk Rumah Panjang Nanga Samu, Paku diibaratkan seperti tiang belian berusia 100 tahun didirikan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keutuhan perpaduan masyarakat di rumah panjang yang tidak pernah berpecah ini wajar dicontohi rakyat di negeri ini meskipun rumah panjang yang didiami mereka mencapai usia 100 tahun.
“Jika pengasas rumah panjang ini iaitu Sarjan Penghulu Luta Tangai mempunyai visi ke hadapan pada 100 tahun lalu, tidak mustahil anak-anak rumah panjang ini mesti ada visi ke hadapan pada masa sekarang ini.
“Zaman telah berubah, dulu tiada telefon, tiada helikopter, tiada teknologi, tapi sekarang sudah 100 tahun kita telah berubah, ‘ketek ajak’ semua boleh jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Rumah Panjang Nanga Samu, Paku dekat sini hari ini.
Abang Johari berkata Sarawak juga harus melihat 100 tahun akan datang, mengambil contoh jika pengasas rumah panjang ini yang berkhidmat dalam polis mempunyai impian, sudah tentu anak-anak hari ini, lebih-lebih lagi anak-anak rumah panjang ini sudah mengeluarkan 160 orang graduan.
“Yang penting perpaduan dijaga, jangan kita berpecah. Masyarakat yang mendiami rumah panjang berusia 100 tahun ini tidak pernah berpecah, kalau rumah ini boleh, rumah panjang di Sarawak juga boleh sama seperti rumah ini,” katanya.
Dalam pada itu, mendianh bekas Sarjan Penghulu Luta Tangai merupakan pengasas utama rumah panjang yang sudah wujud sejak 13 Julai 1924 dengan membangunkan tiang asas pada pintu bilik nombor enam.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas; bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Dato Sri Tan Sri Empiang Jabu; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu.
Selain itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat; Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu; Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta; Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri dan ADUN Krian, Friday Belik.
Oleh ADI SAFARMAN