
SARIKEI: Sokongan berterusan masyarakat Foochow terhadap dasar kerajaan dilihat penting dalam memastikan pembangunan negeri berjalan secara inklusif dan mampan, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, Persatuan Foochow Sarikei telah sekian lama memainkan peranan sebagai platform penting dalam mengeratkan hubungan sesama masyarakat selain memupuk semangat saling membantu dan memelihara warisan budaya komuniti Foochow di kawasan ini.
“Persatuan Foochow Sarikei sebagai platform penting untuk mengeratkan hubungan sesama masyarakat, memupuk semangat saling membantu serta memelihara warisan budaya telah memainkan peranan yang amat positif dalam pembangunan komuniti.
“Melalui usaha dalam bidang pendidikan, kebajikan dan keharmonian masyarakat, persatuan ini sentiasa berpegang kepada semangat perpaduan, kerjasama, warisan budaya dan inovasi demi kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata, demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Penghulu Huang Tiong Kang sempena majlis perasmian mesyuarat agung tahunan (AGM) Persatuan Foochow Sarikei kali Ke-27, baru-baru ini.
Tambahnya, kerajaan Sarawak kini terus melaksanakan pelbagai dasar pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat dengan memberi tumpuan kepada kemajuan ekonomi dan keharmonian sosial dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Terima kasih kepada masyarakat Foochow yang aktif menyokong pembangunan negeri melalui penglibatan dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, ekonomi dan perkhidmatan sosial.
“Saya amat menghargai peranan masyarakat Foochow dalam pembangunan negara dan berharap mereka terus bersatu padu serta menyokong dasar kerajaan demi kemajuan bersama.
“Saya juga berharap persatuan ini terus bergerak seiring perkembangan semasa dengan menarik lebih ramai golongan muda menyertai persatuan supaya warisan budaya dapat diteruskan serta perkhidmatan kepada masyarakat dapat dipertingkatkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Sarikei dan Meradong merupakan tanah kelahirannya yang sentiasa dekat di hati, selain menghargai sokongan berterusan masyarakat pelbagai kaum terhadap kepimpinannya selama ini.
“Saya amat berterima kasih kepada masyarakat Foochow serta seluruh rakyat pelbagai kaum atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan selama ini.
“Kita telah bersama-sama berusaha meningkatkan pembangunan di kawasan bandar, luar bandar dan rumah panjang termasuk menaik taraf jalan raya, kemudahan sekolah dan institusi keagamaan,” katanya lagi.
Tiong Sii turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan kerajaan Sarawak yang terus memberi tumpuan kepada pembangunan negeri secara menyeluruh demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Oleh Earl Anek