Sokongan komuniti buka lebih banyak peluang kepada golongan berkeperluan khas

Facebook
WhatsApp
PENASIHAT KATSN, Dato Sim Kiang Chiok bersama Senator Dato’ Ahmad Ibrahim melihat hasil lukisan yang dipamerkan pada Pameran Seni KATSN Gifted Art Kuching, hari ini.

KUCHING: Sokongan terhadap golongan berkeperluan khas perlu melangkaui bantuan semata-mata dengan memberi mereka peluang mengembangkan kebolehan, meningkatkan tahap berdikari serta menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

Penasihat Persatuan Pembangunan Bakat dan Kebajikan Berkeperluan Khas Kuching (KATSN), Dato Sim Kiang Chiok, berkata usaha itu memerlukan penglibatan bukan sahaja kerajaan, malah sektor swasta, organisasi dan masyarakat secara keseluruhannya.

Menurutnya, keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas masih memerlukan sokongan berterusan dalam pelbagai aspek, termasuk intervensi awal, pendidikan, latihan kemahiran, pekerjaan, penjagaan kesihatan serta sokongan kehidupan.

“Bantuan kerajaan bukan sekadar untuk meringankan kesukaran, tetapi juga perlu mewujudkan peluang kepada ahli kami untuk mengembangkan kebolehan, mencapai tahap berdikari yang lebih tinggi dan memenuhi potensi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Gifted Art Gallery 2026 di Plaza Merdeka, hari ini.

Sim berkata, KATSN turut berharap pengalaman serta kebimbangan keluarga yang berdepan sendiri dengan keperluan golongan berkenaan dapat diambil kira dalam pembentukan dasar dan program kerajaan yang lebih praktikal serta responsif.

Sehubungan itu, beliau berharap Senator Dato’ Ahmad Ibrahim dapat terus membawa suara ahli KATSN dan keluarga mereka ke peringkat Kerajaan Persekutuan, khususnya berkaitan keperluan dan peluang untuk golongan berkeperluan khas.

Pada masa sama, beliau menggesa syarikat, sektor korporat dan organisasi tampil menyokong KATSN menerusi penajaan, kerjasama, latihan, peluang pekerjaan serta keusahawanan yang bersesuaian.

AMANAT…Penasihat Persatuan Pembangunan Bakat dan Kebajikan Berkeperluan Khas Kuching (KATSN), Dato Sim Kiang Chiok ketika berucap pada pada Majlis Penutupan Pameran Gifted Art Gallery 2026, hari ini.

“Jika lebih ramai bersedia membuka pintu, menyediakan peluang dan mengiktiraf kebolehan mereka, kanak-kanak serta golongan dewasa berkeperluan khas boleh menikmati masa depan yang lebih bermakna dan berdikari,” katanya.

Menurutnya, usaha KATSN tidak terhad kepada penganjuran pameran seni, sebaliknya turut merangkumi aktiviti seni, muzik, tarian, bakeri, jahitan, anyaman bakul, sukan, kemahiran hidup serta sokongan kepada keluarga.

Beliau berkata, program berkenaan bertujuan membantu ahli membina keyakinan, memperoleh kemahiran praktikal dan mencapai tahap berdikari yang lebih tinggi, selain mengenal pasti kemampuan masing-masing untuk menyumbang kepada masyarakat.

Mengulas Gifted Art Gallery 2026, Sim berkata penganjuran tahun ini merupakan edisi kelima dengan mengetengahkan hasil karya lapan artis berbakat, iaitu Dave Hwang, Steven Hwang, Rachel Lee, Kelvin Li, Alister Sim, Tommy Tie, Darryon Leong dan Damian Clarke.

Katanya, setiap artis mempunyai kreativiti, personaliti dan cara tersendiri dalam mengekspresikan dunia di sekeliling mereka menerusi lukisan serta karya kreatif.

“Melalui karya mereka, kita dapat melihat bahawa individu berkeperluan khas tidak seharusnya dinilai berdasarkan keterbatasan semata-mata, tetapi juga berdasarkan kebolehan, bakat dan potensi mereka,” katanya.

Walaupun majlis penutupan berlangsung hari ini, pameran berkenaan masih dibuka kepada orang ramai sehingga 20 September bagi memberi peluang kepada masyarakat melihat, menghargai dan menyokong hasil karya artis terlibat.

Sim turut berharap penganjuran pada masa akan datang dapat membuka ruang kepada lebih ramai artis serta menyediakan peluang pembangunan kemahiran dan pekerjaan, sekali gus membantu golongan berkeperluan khas mencapai kehidupan yang lebih berdikari.

Oleh Norman B