
SARIKEI: Perasmian Padang Sukan Bersepadu Alumni warnai ulang tahun ke-21 Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei (Hwa Chiew) yang diraikan penuh meriah.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyifatkan penganjuran majlis ulang tahun tersebut sebagai bukti kekuatan alumni dalam menyokong pembangunan pendidikan.
“Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Persatuan Bekas Pelajar SMK Tinggi Sarikei atas sumbangan berterusan mereka selama 21 tahun kepada alma mater dan masyarakat setempat.
“Persatuan alumni bukan sahaja platform yang menyambung persahabatan bekas pelajar, malah benteng sokongan yang kukuh untuk memajukan sekolah.
“Perasmian Padang Sukan Bersepadu Alumni warnai ulang tahun ke-21 Persatuan Bekas Pelajar SMK Tinggi Sarikei melambangkan kasih sayang mendalam kepada alma mater serta komitmen masyarakat terhadap pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-21 persatuan tersebut, malam tadi.

Katanya, pendidikan kini berkembang ke arah sistem moden yang berteraskan teknologi, justeru penting untuk memperkukuh pendidikan sains dan teknikal agar pelajar bersedia menghadapi era kecerdasan buatan (AI).
“Kita perlu menekankan pemikiran reka bentuk dan kemahiran praktikal di sekolah supaya pelajar mampu berinovasi dan bersaing dalam dunia moden yang dipacu teknologi.
“Saya akan terus menyokong pendidikan dengan menyalurkan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan sekolah.
“Pendidikan berkualiti menjadi asas membina rakyat yang kuat dan negara yang maju,” katanya.
Pada majlis tersebut, Tiong Sii turut menyumbangkan RM50,000 kepada Persatuan Bekas Pelajar SMK Tinggi Sarikei.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung, Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar SMK Tinggi Sarikei ABS Wong Siong Nee, Pengerusi Lembaga Pengurus SMK Tinggi Sarikei Dr Chieng Chieng Kong Chong, dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tinggi Sarikei, Hwang Chiong Ann.
Oleh Earl Anek