
KUALA LUMPUR: Senator Dato’ Ahmad Ibrahim hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 (RUU CCUS) yang dibentangkan di Dewan Negara, sambil menegaskan kesediaan Sarawak untuk menjadi hab penyimpanan karbon serantau serta mempertahankan hak kawal selia negeri.
Beliau menyifatkan RUU ini sebagai langkah penting dalam usaha mencapai sasaran karbon sifar bersih Malaysia menjelang 2050 dan memuji pendekatan inklusif Kerajaan Persekutuan dalam melibatkan Kerajaan Negeri Sarawak serta memperkukuh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“RUU ini menyediakan kerangka perundangan yang menyeluruh untuk aktiviti CCUS, meningkatkan keyakinan pelabur dan mengukuhkan ekosistem ekonomi hijau negara,” katanya.
Dalam perbahasan itu, beliau turut menekankan bahawa Sarawak mempunyai kelebihan geologi yang sesuai untuk penyimpanan karbon berskala besar, khususnya di Baram Delta, Balingian dan Miri Basin. Katanya, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah awal yang kukuh dalam membangunkan sektor ini.
“Sarawak sudah melancarkan Pelan Hala Tuju CCUS, melantik PETROS sebagai entiti utama, serta menganugerahkan lesen penyimpanan karbon pertama.
“Peraturan Tanah (Penyimpanan Karbon) 2022 dan Peraturan Sumber Alam dan Alam Sekitar 2024 juga telah digubal bagi mengawal selia industri ini dengan lebih berkesan,” jelasnya.
Senator Ahmad turut menegaskan kepentingan hak kawal selia negeri dalam urusan sumber asli, mengimbas kembali sejarah industri minyak dan gas Sarawak yang bermula sejak 1910.
Beliau menegaskan bahawa isu kawal selia sumber asli bukanlah soal keistimewaan, sebaliknya merupakan hak yang dijamin dalam Perlembagaan serta termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sehubungan itu, menurutnya, semua projek CCUS di Sarawak dan Sabah harus tertakluk kepada undang-undang negeri, dengan kelulusan bertulis Kerajaan Negeri dijadikan syarat mandatori. Beliau turut menekankan bahawa undang-undang negeri perlu diberi keutamaan sekiranya berlaku percanggahan dengan peraturan Persekutuan.
Senator Ahmad juga menekankan perlunya perlindungan terhadap komuniti tempatan yang terlibat dalam projek CCUS, termasuk mematuhi prinsip Free, Prior and Informed Consent (FPIC) bagi memastikan penduduk setempat dimaklumkan lebih awal dan menerima manfaat setimpal seperti pampasan, peluang pekerjaan, serta latihan kemahiran.
“Komuniti setempat perlu diberikan maklumat yang lengkap dan telus sebelum sebarang projek dijalankan. Mereka juga berhak mendapat manfaat yang setimpal daripada projek ini,” katanya.
Dalam aspek liabiliti jangka panjang, beliau mencadangkan beberapa langkah bagi menjamin keselamatan dan keberkesanan sistem CCUS, termasuk penubuhan Badan Pemantau Bebas yang melapor terus kepada Parlimen, penyediaan laporan tahunan kepada kedua-dua Dewan, serta pembentukan Dana Liabiliti Karbon yang dibiayai oleh pengendali projek.
Menutup perbahasan, beliau menegaskan bahawa kejayaan dasar nasional bergantung kepada kepercayaan dan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.