

GAMBAR… Senator Dato’ Ahmad Ibrahim bersama pemenang Kejohanan Muay Thai ‘MTK X NAO ProFight’ 2025 di Medan Selera Nasi Abe / Gudang Abe Rich, Kota Samarahan, malam tadi.
KOTA SAMARAHAN: Senator Dato’ Ahmad Ibrahim, Penaung Kelab Muay Thai Kenyalang yang juga Ahli Dewan Negara mewakili Sarawak, terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan sukan Muaythai di negeri ini apabila hadir sebagai tetamu kehormat pada Kejohanan Muay Thai ‘MTK X NAO ProFight’ 2025 di Medan Selera Nasi Abe / Gudang Abe Rich, di sini, malam tadi.
Kejohanan berprestij itu dianjurkan oleh Kelab Muay Thai Kenyalang dan Nasi Abe Original, dengan kerjasama Persatuan Muaythai Samarahan, Muaythai Kuching, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) serta sokongan Persatuan Muaythai Malaysia, sekali gus menarik ratusan peminat seni bela diri untuk menyaksikan pertarungan sengit atlet tempatan.

Sepanjang kehadiran, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim beramah mesra dengan atlet dan penyokong, selain menyaksikan beberapa perlawanan menarik yang menampilkan kemahiran, disiplin dan semangat juang tinggi para peserta sebelum menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang dan peserta, sambil menzahirkan penghargaan kepada penganjur atas usaha menganjurkan kejohanan yang diyakini mampu menyemarakkan semangat belia serta memperkukuh perkembangan sukan Muaythai di Sarawak.