SIBU: Ngu Motor Sdn Bhd terus memperkukuh kehadiran jenama Proton di Sarawak dengan pelancaran rasmi bilik pameran Proton e.Mas 3S yang serba moden di Lot 4019, Block 3, Jalan Ulu Oya, hari ini.
Pengarah Urusan Ngu Motor Sdn Bhd, Jeffrey Ngu Ung Yong berkata, pembukaan bilik pameran itu bukan sekadar perasmian biasa, tetapi melambangkan komitmen syarikat dalam menyokong pertumbuhan industri automotif negara.
“Pusat 3S ini bukan sahaja menawarkan jualan, tetapi juga perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih lancar serta berkualiti,” katanya dalam ucapan perasmiannya.
Menurut beliau, Proton terus menjadi kebanggaan negara dengan inovasi teknologi, aspek keselamatan yang tinggi, serta kepuasan pelanggan yang menjadi keutamaan.
“Bilik pameran ini membuktikan kesungguhan kami dalam membina kepercayaan pelanggan dan menyumbang kepada komuniti setempat. Kami mahu memastikan pemilik kenderaan Proton mendapat perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh pemilikan mereka,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Operasi Pengguna Proton Newenergy Technology Sdn Bhd, Lampard Peng Yile turut menzahirkan keyakinan terhadap masa depan industri automotif elektrik di Malaysia, khususnya melalui model Proton e.Mas 7 yang dilancarkan pada 16 Disember 2024.
“Sehingga kini, Proton e.Mas 7 telah menerima lebih daripada 4,000 tempahan dan muncul sebagai model kenderaan elektrik (EV) terlaris di pasaran Malaysia pada Januari 2025. Ini membuktikan keyakinan tinggi pelanggan terhadap jenama dan teknologi Proton,” katanya.
Beliau turut mengakui infrastruktur pengecasan EV masih menjadi cabaran utama dalam industri, namun Proton komited untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Kami telah berjaya menjalinkan kerjasama dengan penyedia pengecas EV utama di Malaysia dan kini meliputi lebih 85 peratus daripada peta pengecasan di seluruh negara melalui aplikasi serta sistem awan kami,” katanya.
Dalam pada itu, Ngu Motor turut mencatat sejarah tersendiri dengan melancarkan pengecas pantas DC pertama di Sibu yang terletak di belakang bangunan tersebut.
“Pelancaran bilik pameran ini bersama kemudahan pengecasan yang lebih meluas diharap dapat mempercepatkan peralihan kepada penggunaan EV dalam kalangan rakyat Malaysia, sekaligus menjadikan teknologi hijau lebih mudah diakses dan praktikal,” tambahnya.
Turut hadir Pengarah Eksekutif Ngu Motor Sdn Bhd, Kong Sing Kiu dan Pengarah Ngu Motor Sdn Bhd, Ngu Heng Hing.
Oleh Tarani Lanting