Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Sohaimi Mior imbau asal-usul lagu Epilog Cinta Dari Bromley
  • HIBURAN

Sohaimi Mior imbau asal-usul lagu Epilog Cinta Dari Bromley

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENYANYI, Sohaimi Mior Hassan bergambar selepas hadir pada majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan sempena Aidilftri Kepada Artis-artis Veteran Tanah Air baru-baru ini. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Hampir empat dekad berlalu, lagu Epilog Cinta Dari Bromley  yang mengangkat kisah cinta tidak kesampaian ciptaan dan dendangan Sohaimi Mior Hassan, 69, hingga hari ini terus kekal malar segar, menambat hati peminat muzik tempatan merentas generasi. 

Sering menjadi pilihan berkumandang di corong radio yang bergenrekan muzik retro 80-an dan 90-an, killer song daripada album Prolog anak jati Perak bersuara macho dan digelar ‘Broery Marantika Malaysia’ ini, mampu menyentuh emosi sesiapa sahaja dengan lirik dan melodi penuh jiwa.

PENYANYI, Sohaimi Mior Hassan.

Namun begitu, tidak ramai yang mengetahui kisah di sebalik lagu yang melonjakkan nama Sohaimi ke persada hiburan tempatan selain naskhah puitis itu sering disalah tafsir sebagai kisah cintanya sendiri, sedangkan karya tersebut berdasarkan pengalaman peribadi rakannya ketika menuntut di United Kingdom (UK).

Pengalaman melihat dilema percintaan rakan-rakan pelajar Malaysia di luar negara yang berdepan konflik dengan pasangan bukan Islam ketika mengikuti pengajian kejuruteraan tentera laut di negara itu pada akhir 1970-an, menjadi inspirasi  untuk beliau mencipta karya hebat itu.

“Saya nampak ramai kawan-kawan yang mengalami masalah macam itu semasa belajar di UK. Ada yang bercinta dengan orang sana, tapi bila nak balik ke Malaysia timbul masalah sebab pasangan mereka tak mahu memeluk Islam.

“Masa saya tunggu bas, saya nampak papan tanda Bromley. Dari situ saya dapat idea buat lagu itu, jadilah Epilog Cinta Dari Bromley,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, di sini baru-baru ini.

Komposer ini yang juga dikenali menerusi lagu Kalau Berpacaran dendangan bersama penyanyi Ana Raffali dan rapper Altimet bagaimanapun agak menyepi daripada radar hiburan tempatan selepas album terbitan 2011 itu dipertandingkan di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) pada 2012.

LAGU Epilog Cinta Dari Bromley  mengangkat kisah cinta tidak kesampaian ciptaan dan dendangan Sohaimi Mior Hassan.

Ketika ditanya apakah beliau merajuk dengan industri sehingga mengasingkan diri, Sohaimi berkata beliau seorang yang sentiasa low profile sejak mula menceburi bidang nyanyian pada era 1980-an.

“Bukanlah merajuk. (Walaupun tidak muncul di hadapan ramai) saya ada buat banyak lagu termasuk lagu Ramadan. Mungkin sekitar 20 lagu, tapi kebanyakannya saya simpan sahaja. Sekarang nak keluarkan lagu agak renyah sebab kena uruskan sendiri termasuk aplikasi dan platform digital.

“Dulu semua syarikat rakaman yang uruskan, sekarang semuanya kita sendiri kena buat,” katanya yang kini lebih banyak meluangkan masa bersama-sama keluarga dan menjaga cucu sejak sedekad lepas.

Sohaimi berkata biarpun tidak lagi aktif merakam lagu, beliau masih lagi menerima jemputan menyanyi sekali-sekala, terutama dalam majlis pertemuan semula atau acara santai bersama peminat lama.

“Anak-anak semua sudah berkahwin dan masing-masing bekerja, jadi saya banyak membantu menjaga cucu di rumah. Aktiviti besar saya sekarang ialah menghantar dan mengambil cucu ke sekolah,” katanya yang mempunyai empat orang cucu.

“Tawaran menyanyi masih ada tetapi saya agak memilih. Biasanya, saya pergi majlis gathering seperti pertemuan bekas pelajar atau peminat lama dan dalam sebulan, antara satu atau dua jemputan seperti itu,” katanya. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: KPop Demon Hunters raih anugerah Filem Animasi Terbaik Oscar
Next: Azhan Rani tidak lagi rasai kemeriahan Aidilfitri sejak kematian bapa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.