
BINTULU: Snuker berpotensi menjadi medium menarik minat belia ke arah aktiviti sihat dan menjauhi gejala negatif, kata Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan snuker secara tersusun dapat membantu memperbetul persepsi masyarakat terhadap sukan itu yang sering dipandang serong, selain memastikan golongan muda mempunyai saluran positif untuk beriadah.
“Penganjuran ini amat bermakna kepada masyarakat di Bintulu kerana snuker merupakan sukan yang kerap disalahertikan. Kami mahu mengangkat snuker sebagai sukan sihat dan bebas dadah.
“Saya berharap komuniti setempat dapat bersama memastikan Bintulu kekal berada di landasan bebas dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Snuker Tertutup Bintulu 2025 di Pusat Snuker Champion Bintulu semalam.
Kejohanan melibatkan 39 peserta itu dianjurkan sebagai platform pembangunan bakat belia dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pemain muda dalam sukan snuker.
“Saya mahu kejohanan ini diteruskan tahun depan supaya snuker kekal relevan serta mampu bertanding di peringkat bahagian lain,” ujar Nizam.
Oleh Carolyne Utih