
KUCHING: Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Snowdan Lawan, menzahirkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli parti atas sokongan padu sepanjang beliau menerajui sayap Pemuda sejak 2016.
Beliau menyifatkan perjalanan selama hampir sembilan tahun itu sebagai satu pengalaman bermakna yang penuh cabaran, kerja keras dan pertumbuhan luar biasa.
“Ketika saya mula memegang jawatan ini, saya dipenuhi dengan rasa semangat, namun juga rasa tidak pasti tentang perjalanan yang bakal ditempuhi.
“Hari ini, saya berdiri dengan penuh rasa syukur dan bangga atas segala yang telah kita capai bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Tiga Tahun Sekali Ke-6 Pergerakan Wanita Dan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sebuah hotel terkemuka, hari ini.

Antara pencapaian utama sayap pemuda di bawah kepimpinan beliau termasuk lawatan ke Parlimen United Kingdom pada 2019 bagi mempelajari sistem Parlimen British dan meneliti dokumen asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Arkib Negara UK serta Jelajah Pemuda PRS yang menjangkau komuniti dari Lawas hingga ke Lundu.
Beliau turut menyentuh tentang penubuhan Pewaris, sayap termuda PRS yang menghimpunkan ahli berusia 18 hingga 28 tahun sebagai pelapis kepimpinan masa depan.
“Sebahagian daripada mereka kini telah dilantik sebagai kaunselor, setiausaha politik, malah ada yang menjadi wakil rakyat. Ini bukti kesungguhan dan komitmen bersama kita.
“Turut diingatkan barisan kepimpinan baharu agar sentiasa mendekati akar umbi serta tidak memandang ringan sokongan rakyat, terutama dalam menghadapi era baharu politik yang menyaksikan pengenalan pendaftaran pengundi automatik dan Undi 18.
“Kepimpinan bukan tentang berdiri di hadapan, tetapi tentang memperkasakan mereka di sisi kita dan saya menggesa agar barisan baharu terus bersatu, berani dan teguh memperjuangkan prinsip parti,” tegasnya.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan menggesa agar semua ahli kekal berintegriti dan bersemangat dalam perjuangan parti.
“Ini bukan selamat tinggal, tetapi satu peralihan. Saya akan terus menjadi ahli setia PRS dan menyokong pergerakan pemuda dengan sepenuh hati,” ujarnya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pemimpin tertinggi PRS, wakil-wakil sayap wanita dan pemuda dari seluruh negeri.
Oleh Masrin Affirah