
PETRA JAYA: Datuk Snowdan Lawan tidak menolak kemungkinan untuk dilantik memegang mana-mana jawatan dalam Parti Rakyat Sarawak (PRS) selepas kepimpinan baharu parti itu dibentuk baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin itu berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden baharu PRS, Dato Sri John Sikie Tayai, serta barisan Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan senarai pelantikan selepas pemilihan parti selesai.
“Saya akan serahkan keputusan itu kepada Majlis Tertinggi dan Presiden untuk mengisi jawatan lantikan ini. Saya percaya mereka akan membawa kembali semua YB sebagaimana yang dilakukan oleh mendiang Tan Sri James Jemut Masing dahulu.
“Kita tidak boleh meninggalkan mana-mana YB. Kita mesti membawa mereka kembali ke dalam Majlis Tertinggi parti.
“Mana-mana ADUN yang tidak dilantik memegang jawatan, saya pasti akan dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi PRS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Kejohanan Tarian Naga dan Singa Antarabangsa serta Pelancaran Buku ‘Snapshots of Sarawak’ di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Snowdan yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak sebelum ini menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) PRS Ke-6, bagi memberi laluan kepada Datuk Majang Renggi yang kini secara rasmi memegang jawatan tersebut tanpa bertanding.
Mengulas lanjut, beliau berkata masih terdapat beberapa jawatan lantikan dalam parti yang belum diisi dan percaya kepimpinan baharu akan menilai kedudukan setiap wakil rakyat secara adil.
“Setakat ini hanya Setiausaha Agung sahaja yang telah dilantik. Masih ada kira-kira 10 atau lebih jawatan lantikan yang belum diisi.
“Sudah tentu akan ada pelantikan bagi mereka yang tidak memenangi sebarang jawatan seperti YB Chukpai Ugon, YB Nicholas Kudi Jantai dan YB Roy Angau Gingkoi,” katanya.
Menurut Snowdan, pertandingan yang berlangsung dalam pemilihan kali ini merupakan satu pertandingan keluarga dan tidak wajar menimbulkan sebarang perpecahan dalam parti.
“Saya yakin Presiden baharu akan adil dalam memastikan semua ADUN dan YB terus diberi peranan dalam parti. Yang penting ialah perpaduan dan keadilan, supaya tiada pihak berasa diketepikan,” tegasnya.
Bekas Ketua Pemuda PRS itu turut menegaskan bahawa keputusannya untuk tidak bertanding adalah demi menjaga perpaduan dalam parti, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang yang dijangka diadakan tahun depan.
Oleh Shahrul Qaizat