Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • SMPC Sarawak bukti pelajar mahir tiga bahasa
  • PENDIDIKAN

SMPC Sarawak bukti pelajar mahir tiga bahasa

Utusan Sarawak 6 hours ago
UNTUK KENANGAN….Tiong (depan, sepuluh kanan), Lau (depan, lapan kiri), Ling (depan, lapan kanan) merakamkan kenangan bersama tetamu, peserta dan guru pengiring Pertandingan Pidato Tiga Bahasa Piala Cabaran Sarawak Ke-10.

SIBU: Pendekatan pendidikan tiga bahasa yang diamalkan secara konsisten oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di Sarawak bukan sahaja menjadi identiti tersendiri institusi tersebut, malah menangkis salah tanggapan bahawa pelajar SMPC hanya mahir dalam Bahasa Cina.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan SMPC Bahagian Sibu, Datuk Tiong Thai King, berkata sekolah ini komited dalam pelaksanaan pengajaran dalam Bahasa Cina, Melayu dan Inggeris secara seimbang dan berkesan.

“Masih ada yang beranggapan pelajar SMPC hanya menguasai Bahasa Cina, sedangkan pendekatan tiga bahasa ini telah lama dipraktikkan secara sistematik. Tanggapan sedemikian perlu diperbetulkan,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Pidato Tiga Bahasa Piala Cabaran Sarawak Ke-10 di Wisma Huawen Du Zong, baru-baru ini.

Menurut beliau, penguasaan pelbagai bahasa bukan sahaja kelebihan dalam komunikasi, tetapi juga warisan budaya, penyampai ilmu serta kunci kepada peluang global.

“Pertandingan seperti ini memberi ruang kepada pelajar menyerlahkan kemahiran mereka dalam Bahasa Cina, Melayu dan Inggeris, di samping membina keyakinan diri dalam suasana persaingan yang sihat,” katanya.

Tiong menegaskan bahawa kecekapan berbahasa pelbagai kaum merupakan aset penting dalam masyarakat majmuk Malaysia, lebih-lebih lagi dalam era digital dan keterhubungan serantau yang semakin berkembang.

“Keupayaan bertutur dalam lebih daripada satu bahasa menjadi jambatan komunikasi yang penting dalam meneroka peluang di peringkat antarabangsa serta memperkukuh hubungan rentas budaya,” tambahnya.

Beliau turut menggalakkan pelajar agar berani mencuba, tidak gentar untuk berinteraksi dengan masyarakat pelbagai latar belakang dan menjadikan pertandingan seperti ini sebagai medan pembelajaran dan perkongsian ilmu antara sekolah.

Pertandingan pidato itu menyaksikan penyertaan 55 pelajar daripada 14 SMPC seluruh Sarawak yang menunjukkan kepetahan mereka dalam tiga bahasa utama negara.

Tiong turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas dasar inklusif kerajaan negeri yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta membuka peluang kepada pelajar SMPC untuk menyertai perkhidmatan awam negeri.

“Terbaharu, kerajaan negeri turut menawarkan pengajian percuma kepada lepasan SMPC di lima institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri bagi program terpilih mulai tahun hadapan.

Ini merupakan satu pengiktirafan besar yang amat kami hargai,” ujarnya.

Beliau turut menggesa agar Kerajaan Persekutuan mencontohi pendekatan Sarawak demi masa hadapan pendidikan SMPC di negara ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurusan Gabungan Persatuan Sekolah Menengah Cina Persendirian Sarawak, Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming dan Pengetua Citizen Middle School yang juga Pengerusi Pengelola, Joyce Ling.

Oleh Akun Giman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Teknologi AI pelengkap pendidikan masa kini
Next: Program NTW 2025 di KKSRCS tawar pelbagai kursus percuma, tarik lebih 400 peserta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.