WALAUPUN masih berdepan dengan Covid-19, ia tidak menghalang semangat pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony, Sarikei untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Diantara pekara yang paling penting menjayakan prestasi kejayaan cemerlang ini ialah faktor guru, kata Pengetua SMK St Anthony, Vincent Liong Shou Chuan.
“Guru-guru sangat rajin dalam mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) dan bila pelajar balik ke sekolah untuk pembelajaran secara bersemuka, mereka mengadakan kelas tambahan bersesuaian dengan setiap pelajar supaya mereka dapat meningkatkan pencapaian.
“Disamping itu, sokongan para ibu bapa adalah begitu penting sekali. Ibu bapa telah memberikan kerjasama untuk menyelia dan memantau.
“Selain itu, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei telah memberi sokongan padu dan galakan kepada semua sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh para pemberita di Majlis Penyampaian Sijil Hadiah Yayasan Sarawak, Insentif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Murid Cemerlang SPM & Graduasi STPM 2021, baru-baru ini.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak memberikan bantuan kewangan untuk pihak sekolah melaksanakan kelas tuisyen bagi semua pelajar yang memerlukannya.
“Jadi saya rasa langkah-langkah ini adalah satu pencapaian usahasama iaitu maksudnya usahasama dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), JPNS, PPD, pihak sekolah, guru-guru, para pelajar, ibu bapa, Yayasan Sarawak, alumni dan masyarakat setempat,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas pertanyaan pemberita berkenaan nasihat kepada pelajar lepasan SPM dan STPM, beliau berkata, peluang untuk meneruskan pelajaran di Malaysia adalah cukup baik.
“Bagi semua pelajar yang sudah tamat pelajaran di Tingkatan 5 dan Tingkatan 6, saya berharap mereka akan meneruskan pelajaran sama ada mengikuti bidang teknikal, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) atau aliran kemanusiaan.
“Saya rasa, apa yang paling penting pada masa ini adalah untuk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran,” katanya lagi.
Sementara itu, merancang dan berdisiplin mengikut jadual pelajaran dan membuat banyak latihan merupakan antara resepi kejayaan tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony, Sarikei yang lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
David Ding Sing Yew mendapat keputusan sangat cemerlang iaitu 10A+.
“Sebelum SPM, saya banyak mencetak pra percubaan SPM, kertas percubaan SPM dan melengkapkan kesemuanya sebagai latihan.
“Saya berasa sangat bangga dan bersyukur selepas saya mengetahui saya memperolehi 10A+ dalam peleriksaan SPM.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan ibu bapa saya yang memberikan saya sokongan dan motivasi.
“Saya juga berasa sangat bangga kerana telah mencapai matlamat saya iaitu mencapai 10A+ yang telah saya tetapkan, sejak dari awal.
“Teknik saya belajar ialah merancang jadual dulu, selepas itu mengikut jadual dan membuat banyak latihan,” katanya.
David juga berasa sangat bersyukur kerana guru-guru memberikannya bantuan apabila menghadapi masalah dalam pelajaran.
Sementara itu, seorang pelajar yang memperoleh 10A dalam semua mata pelajaran iaitu Aileen Wong berkata, beliau tidak menyangka dapat lulus penuh 10A dalam SPM.
“Memang tidak sangka mendapat 10A. Sebenarnya, sasaran saya ialah 5A dan tidak sangka dapat 10A.
“Cara saya belajar ialah membuat jadual bila hendak belajar, masa luang dan senaman.
“Bagi saya, senaman memang penting untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang lebih baik,” kata Aileen.
Sementara itu, Tan Yi Ling, pelajar yang memperoleh 9A+ dalam semua mata pelajaran berkata, beliau sentiasa membuar ulangkaji dan membuat jadual pembelajaran sendiri.
“Saya membuat ulangkaji dan jadual pembelajaran saya sendiri dan kemudian saya mengatur jadual mengikut kesesuaian masa.
“Saya mengulangkaji pelajaran mengikut subjek selepas bangun pagi dan kemudian sambung ulangkaji selepas makan tengah hari.
“Waktu malam juga saya turut menyambung ulangkaji pelajaran selepas makan malam,” ujarnya.
Dalam pada itu, selain dari David Ding yang memperoleh 10A+, seramai 28 orang pelajar sekolah tersebut telah mendapat semua A dalam setiap mata pelajaran.