
SONG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Song No.2 mencatat keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.
Pengetuanya, Pulit Lai berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan pelajar sekolah berkenaan bersaing dengan institusi lain di peringkat negeri, hasil peningkatan berterusan dalam kualiti pendidikan.
“Seramai empat pelajar berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A, diikuti empat pelajar mendapat 8A, manakala selebihnya turut mencatat pencapaian membanggakan dengan keputusan antara 7A hingga 3A,” katanya.
Pelajar yang memperoleh 9A ialah Cristiano Ganny Saloma, Jestiana Amanda Marcus, Ellysyiana Icha Rudy dan Anastania Dammie Wahed.
Bagi keputusan 8A pula, ia dicapai oleh Anisha Qhajijah Manap, Allisyia Sigau, Allyani Imas Tawi serta Dayana Medonza Zamry.

Sementara itu, Rosalinda Laura Ensidy mencatat keputusan 7A, manakala tujuh pelajar memperoleh 6A, lima pelajar mendapat 5A, tiga pelajar masing-masing meraih 4A dan 3A.
Pulit berkata, pencapaian tersebut adalah hasil usaha bersepadu pihak sekolah yang melaksanakan pelbagai program akademik seperti kelas tambahan, kem motivasi serta teknik menjawab soalan secara sistematik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan guru atas komitmen tinggi dalam mendidik pelajar, selain peranan penting ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sentiasa menyokong pembelajaran anak-anak di rumah.
“Keputusan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sekolah dan ibu bapa, malah menyumbang kepada pembangunan modal insan di kawasan Song,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan itu diharap menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus cemerlang serta memperkukuh kecemerlangan akademik sekolah pada masa hadapan.
Oleh Tarani Lanting