PASUKAN dari SMK Semerah Padi membawa pulang satu Anugerah Emas, satu Anugerah Perak dan tiga
Anugerah Gangsa pada Pertandingan Inovasi Si2TE 2022.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah Padi mengharumkan nama Sarawak apabila memenangi Anugerah Emas dan Perak bagi dua projek inovasi di dalam Pertandingan Inovasi Si2TE 2022 (Sirim Invention, Inovation and Technology Expo) anjuran Sirim di Kulim Hi-Tech yang berlangsung di Kedah.
Malah tiga lagi projek dari sekolah ini yang dipertandingkan, turut menerima Anugerah Gangsa di dalam pertandingan yang berlangsung pada 19-21 Julai 2022 lalu. Sebanyak 176 projek daripada seluruh peringkat kategori dan negeri bertanding untuk merebut anugerah berprestij nini.
Menurut Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Semerah Padi, Dayang Normala Abang Bohari selaku ketua rombongan, sekolah berkenaan merupakan satu-satunya sekolah di Sarawak yang dijemput menyertai pertandingan ini dan apa yang membanggakan, sekolah ini pulang dengan kejayaan apabila kelima-lima projek inovasi yang dipertandingkan, membawa pulang anugerah.
Projek inovasi Vermi Pot bagi mengurangkan penggunaan plastik di dalam bidang pertanian, menarik perhatian juri untuk dinobatkan sebagai juara pertandingan ini. Vermi Pot adalah pasu bunga yang diperbuat daripada vermikompos dan kanji yang dicipta bagi menggantikan penggunaan polybag dalam bidang pertanian.
Sementara itu, projek 2 In 1 Shopping Bag yang memenangi Anugerah Perak merupakan beg membeli-belah dengan dua fungsi untuk bahan basah dan kering. Inovasi ini bertujuan mempromosi beg guna semula bagi menghalang pembuangan beg plastik secara berleluasa.
Tiga lagi projek hasil inovasi para pelajar sekolah ini iaitu Dam Grid, Citrus Medicass Repellent dan D-Lemonen Aromatheraphy pula masing-masing mendapat Anugerah Gangsa.
Dam Grid membantu para pelajar menguasai cara menentukan kedudukan menggunakan rujukan grid berdasarkan peta topografi bagi subjek Geografi, manakala Citrus Medicass Repellent dan D-Lemonen Aromatheraphy pula merupakan produk yang dihasilkan untuk kegunaan seharian.
Untuk pertandingan ini, SMK Semerah Padi telah menghantar lima projek inovasi yang disertai oleh seramai 12 orang pelajar Tingkatan 2, 3 dan 5 serta empat guru pembimbing.
Kumpulan 1 yang menghasilkan projek Vermi Pot, 2 In 1 Shopping Bag dan Dam Grid dianggotai oleh Anis Hannani Khalid, Ameera Maisarah Mohd Hazikin, Ainul Amira Kamil, Haziqah Alya Adaha, Qha’yum Mohd Noor dan Muhamad Raimy Hazmy Razali.
Kumpulan ini di bawah bimbingan Cikgu Dayang Mordiah Abg Abdul Rahman dan Cikgu Mohamad Razif Asnan.
Sementara itu, Kumpulan 2 yang mengilhamkan projek Citrus Medicass Repellent dan D-Lemonen Aromatheraphy terdiri daripada Puspitasari Ramli, Sharifah Nur Afirah Wan Zaidi, Nur Imanisa Jamaludin, Noorul Haziyah Zulkiflee, Afiqah Nur Raihan Arib dan Siti Ardiana Hamdan.
Kumpulan ini mendapat bimbingan daripada Cikgu Suria Samsudin dan Cikgu Noor Amirah Rosli.
Turut mengiringi para pelajar semasa pertandingan ini ialah Focal Person Daerah Kuching merangkap Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta penasihat program tersebut, Shamsuri Epoh.
Majlis penyampaian anugerah berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi, DatukĀ Dr Ku AbdulRahman Ku Ismail. Hadir sa,a, Presiden & Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato Dr Ahmad Sabirin Arshad.
Oleh HAINI DARANI