SMK Santubong dipastikan selamat untuk murid

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Pendidikan, Omar Mahli berinteraksi dengan murid ketika meninjau pengoperasian SMK Santubong selepas sekolah berkenaan dibuka semula susulan keadaan jerebu. Foto JPNS

SANTUBONG: Suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong kembali ceria apabila murid meneruskan sesi persekolahan seperti biasa selepas sekolah berkenaan dibuka semula susulan keadaan jerebu.

Perkembangan itu turut ditinjau Pengarah Pendidikan, Omar Mahli menerusi lawatan ke sekolah berkenaan bagi memastikan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid berada pada tahap sewajarnya.

Hasil tinjauan mendapati kehadiran murid adalah baik, manakala sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung lancar dalam suasana bilik darjah yang selesa dan kondusif.

Kemudahan pengudaraan termasuk kipas turut berfungsi dengan baik bagi membantu memastikan keselesaan murid dan guru sepanjang sesi persekolahan.

Apa yang lebih menggembirakan, murid dilihat kembali ceria apabila dapat meneruskan pembelajaran serta berinteraksi semula dengan guru dan rakan selepas keadaan jerebu sebelum ini menjejaskan operasi persekolahan.

Jabatan Pendidikan Negeri berkata, keadaan semasa akan terus dipantau dan pihak sekolah akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan situasi setempat bagi memastikan keselamatan serta kesihatan seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara.

Pada masa sama, jabatan itu merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga murid SMK Santubong atas kepercayaan serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh berdepan keadaan jerebu.

Kerjasama berterusan semua pihak penting bagi memastikan proses pendidikan dapat diteruskan dalam persekitaran yang selamat, sihat dan selesa.