
PAKAN: Pencapaian akademik yang semakin meningkat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pakan sejak tiga tahun lalu dilihat sebagai hasil kepimpinan berkesan pentadbir serta komitmen para guru dalam membentuk sahsiah pelajar ke arah lebih positif.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, beliau berbangga dengan peningkatan disiplin serta pencapaian akademik pelajar.
“Di bawah kepimpinan pengetua, Nissy Naong, serta guru-guru di sini, pelajar telah diajar tentang kepentingan menjaga tingkah laku dan gaya hidup
“Begitu juga, guru-guru di sini bersetuju dengan saranan pengetua yang telah memudahkan pengurusan sekolah yang teratur serta mengajar pelajar disini supaya mereka menjadi modal insan yang berguna pada masa hadapan,” katanya.

Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Apresiasi Kecermelangan Pelajar (MAKeP) Siri II yang diadakan di SMK Pakan, semalam.
Beliau turut mengingatkan pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi agar mengekalkan disiplin dan nilai moral sebagai asas kejayaan.
“Hari ini, dunia kita telah banyak berubah, dan semakin ramai orang belajar di universiti bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga dari luar negara.
“Inilah yang harus mereka hadapi dan kekalkan disiplin serta fokus dalam pembelajaran supaya kita tidak menyimpang daripada matlamat dan niat kita ketika pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah,” katanya.
Tambahnya, disiplin akan membentuk keyakinan diri serta membuka peluang lebih besar apabila pelajar memasuki alam pengajian tinggi dan seterusnya dunia pekerjaan.
“Jika mereka tamat pengajian dari universiti, saya berharap mereka akan berani dan sentiasa menghormati diri dan orang lain dan juga tambahkan ilmu dan disiplin supaya majikan di sektor swasta dan kerajaan dapat melihat potensi mereka pada masa hadapan,” katanya.
Larry turut menegaskan bahawa sokongan kepada program sekolah perlu diteruskan kerana ia membantu melahirkan generasi pemimpin masa hadapan.
“Saya menyokong aktiviti yang dianjurkan oleh pihak di sekolah, kerana inilah cara kita mewujudkan seseorang pelajar sebab mereka akan menjadi pemimpin atau tonggak negara yang mengangkat bangsa.
“Pesanan saya, kekalkan disiplin dan jangan abaikan pelajaran anda, seperti kata pepatah lama, belum terhantuk jangan tergadah, jangan berhenti belajar dan kuatkan semangat anda,” katanya.
Oleh Earl Anek