
SIBU: Seramai 27 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist menerima insentif kecemerlangan berjumlah RM9,200 hasil kejayaan mereka dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu.
Pelajar-pelajar tersebut merupakan mereka yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 ke atas dalam peperiksaan berkenaan.
Majlis penyampaian insentif berlangsung di SMK Methodist, di mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng menyampaikan ganjaran tersebut sebagai tanda penghargaan atas usaha gigih dan ketekunan para pelajar.
“Tahun ini merupakan tahun keempat berturut-turut saya secara peribadi mengambil inisiatif menyampaikan insentif kepada pelajar STPM cemerlang dari dua sekolah dalam kawasan Bukit Assek, iaitu SMK Methodist dan SMK Sacred Heart,” katanya.
Chieng menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap pencapaian akademik bukan sahaja menggalakkan perkembangan individu, malah turut memajukan komuniti secara keseluruhan.
Katanya, di bawah struktur baharu ini, pelajar yang memperoleh PNGK antara 3.00 hingga 3.32 akan menerima insentif sebanyak RM200, PNGK 3.33 hingga 3.66 sebanyak RM300, PNGK 3.67 hingga 3.99 sebanyak RM400, manakala pelajar yang memperoleh PNGK 4.00 akan menerima RM500.
“Saya berharap insentif ini, walaupun sederhana, dapat menjadi dorongan untuk anda semua terus berusaha mencapai kecemerlangan, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam kerjaya dan pembangunan peribadi,” tambahnya.
Chieng turut menasihatkan pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi agar menyemak laman rasmi Yayasan Sarawak bagi mendapatkan maklumat tentang bantuan wang saku RM1,200 yang disediakan oleh kerajaan negeri.
Beliau menjelaskan bahawa bantuan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan pelajar, membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran. Permohonan akan dibuka untuk tempoh masa terhad dan dana disalurkan melalui S Pay Global.
“Sebanyak RM30 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan Negeri 2025 untuk tujuan ini,” katanya.
Beliau turut menggesa para pelajar agar terus memasang cita-cita tinggi dan kembali ke Sibu suatu hari nanti untuk menyumbang bakat serta ilmu demi kemajuan negeri.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurusan SMK Methodist, John Ting dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ting Wei Ping.
Oleh Akun Giman