BINTANGOR: Prestasi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong telah menunjukkan pencapaian membanggakan dengan kelulusan 94.97 peratus dan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.48.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata, daripada 163 pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut, seramai 29 pelajar berjaya mendapat 5A ke atas dan dua orang pelajar telah berjaya memperoleh 10A atau semua A dalam semua subjek.
“Kejayaan setiap pelajar adalah hasil daripada usaha keras, komitmen dan sokongan yang tidak ternilai daripada ibu bapa, guru dan warga sekolah.
“Hari ini (semalam), kita berkumpul untuk memberi penghargaan kepada pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah sepanjang tahun.
“Pencapaian yang kita raikan ini bukan sahaja hasil daripada kecerdasan minda, tetapi juga komitmen, disiplin dan sikap positif yang ditunjukkan oleh setiap pelajar dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang sesi persekolahan,” katanya.
Koung Hiing berkata demikian ketika berucap pada majlis anugerah cemerlang SMK Meradong 2024 bertempat di Dewan PIBG SMK Meradong, semalam.
Katanya, kejayaan pelajar tidak hanya bergantung pada usaha mereka di sekolah sahaja, tetapi juga pada sokongan yang diterima daripada ibu bapa di rumah.
“Oleh itu, saya menyeru agar kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah diteruskan dan diperkukuhkan demi kebaikan serta masa depan pelajar.
“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan salah satu saluran yang amat penting dalam memastikan kejayaan pelajar.
“Saya yakin dengan komitmen yang kuat daripada ibu bapa dan guru, kita akan terus melahirkan generasi yang berjaya,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Nassarudin Ibrahim; Pengetua SMK Meradong, Poh Chie Teck dan Pengerusi PIBG SMK Meradong, Cherida Igu.
Oleh Earl Anek