
MARUDI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi berjaya menewaskan lima sekolah menengah lain apabila muncul juara dalam Kejohanan Hoki Bawah 18 Tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Bahagian Miri bagi kedua-dua kategori, iaitu lelaki dan perempuan.
Naib johan bagi kategori lelaki dimenangi SMK Riam sementara tempat ketiga diraih oleh Kolej Tun Datuk Tunku Haji Bujang.
Sementara naib johan bagi kategori perempuan dimenangi Kolej Tun Datuk Tunku Haji Bujang Miri dan SM Sains di tempat ketiga.
Majlis Perasmian Penangguhan dan Penutupan kejohanan tersebut telah disempurnakan oleh Joseph Tiong yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sebastian Tong Chiew Yew, di Kompleks Sukan Marudi petang semalam.

Sebastian berkata para atlet yang terlibat dalam kejohanan ini adalah cerminan harapan dan semangat baharu generasi pelapis negeri Srawak.
Beliau bangga semua alet yang terlibat telah menunjukkan semangat kesukanan, kecekalan dan disiplin yang tinggi.
Menurut beliau kejohanan ini bukan sekadar tentang menang atau kalah, ia adalah satu platform pembelajaran, atau ruang untuk pelajar mengenal potensi diri, mengasah bakat dan membina kekuatan mental serta semangat kerjasama.
“Setiap pukulan kayu hoki, setiap gerakan di padang adalah langkah ke arah pembentukan sahsiah yang ungul,” katanya. Teks ucapan beliau dibaca Joseph Tiong bagi mewakilinya.
Beliau berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang kejohanan ini akan menjadi pemangkin untuk terus melibatkan diri dalam bidang sukan khususnya sukan hoki.

Dalam pada itu katanya selain meningkatkan kemahiran permainan, sukan juga mendidik nilai-nilai seperti setiakawan, hormat kepada lawan, daya tahan cabaran dan semangat pantang menyerah.
“Ingatlah, ramai atlet negara kita yang menempa nama di pentas SUKMA, kebangsaan, malah antarabangsa juga bermula di peringkat negeri.
“Tidak mustahil dalam kalangan atlet yang terlibat dalam kejohanan ini, ada yang akan mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia pada masa akan datang,” tambah Sebastian.
Sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan di peringkat bahagian, Sebastian mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 melalui peruntukan MRP kepada pihak penganjur kejohanan.
Sekolah-sekolah yang terlibat dalam kejohanan tersebut ialah SMK Marudi (tuan rumah), Kolej Tun Datuk Tunku Haji Bujang, SMK Merbau, SMK Riam, SM Sains dan SMK St Columba.
Turut hadir Pengetua SMK Marudi Mohd Effendi Panglima, wakil PPD Baram Siti Noor Atiqah Kifawi, YDP sekolah SMK Marudi Penghulu Blalang Atom dan Penghulu King Un.
Oleh Jiku Juguong