
MIRI: Pertandingan Robotik Antarabangsa Borneo 2025 anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri telah menarik penyertaan sebanyak 220 pasukan dari dalam dan luar negara.
Acara tersebut berlangsung mulai hari ini hingga 10 Mei di Dewan Besar Hotel Meritz, Miri.
Pertandingan ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak serta Sasbadi Learning Solutions.
Menurut kenyataan media penganjur, sebanyak 220 pasukan bertanding dalam lima kategori, iaitu Kategori Sekolah Rendah (9 hingga 12 tahun), Kategori Sekolah Menengah Rendah (13 hingga 15 tahun), Kategori Sekolah Menengah Atas (16 hingga 18 tahun), Kategori Sukan Robotik – Tenis Beregu (11 hingga 18 tahun), dan Kategori Terbuka (19 tahun ke atas).
Daripada jumlah penyertaan tersebut, 167 pasukan adalah dari Malaysia, manakala 53 pasukan lagi berasal dari China, Chinese Taipei, Macau, Thailand dan Vietnam.
Kehadiran pelbagai pasukan antarabangsa dijangka mampu meningkatkan pengiktirafan serta daya saing pertandingan ini di peringkat global.
Sementara itu, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Mariam Monek, memuji inisiatif SMK Chung Hua Miri menganjurkan acara bertaraf antarabangsa yang diyakini memberi impak besar terhadap pembangunan pendidikan sains dan teknologi di negara ini.
Katanya, Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha memperkasakan pendidikan dalam bidang tersebut bagi meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi, literasi teknologi maklumat, keupayaan penciptaan robotik serta kemahiran penyelidikan sains dan industri dalam kalangan pelajar.
“Pertandingan seperti ini bukan sahaja menyediakan platform untuk pertukaran ilmu dan teknologi, malah menggalakkan pelajar memahami perkembangan robotik di peringkat antarabangsa, memperkukuh kerjasama global serta memperluaskan pandangan mereka.
“Semua pelajar Malaysia yang menyertai pertandingan ini juga layak menerima mata kokurikulum (PAJSK) sebagai pengiktirafan penyertaan mereka,” jelasnya.
Oleh Adum Liu