
BINTULU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu meneruskan dominasi dalam arena sukan sekolah apabila berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Bintulu Ke-23 2026, sekali gus muncul juara empat tahun berturut-turut.
Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memperkasa pembangunan sukan sekolah, selain menjadi bukti kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, jurulatih, atlet dan ibu bapa dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi.
“Kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu, malah membentuk semangat kesukanan, disiplin dan kepimpinan dalam kalangan pelajar sebagai persediaan menghadapi pertandingan di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Kejohanan Olahraga MSS Bahagian Bintulu Ke-23 2026 di Stadium Bintulu, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing berkata, kejayaan dalam sukan bukan hanya bergantung kepada kemampuan individu, malah memerlukan semangat kerja berpasukan dan kerjasama erat.
“Dalam sukan, bukan hanya kemampuan individu, malah semangat berpasukan dan kerjasama erat juga penting.
“Acara seperti lari berganti-ganti memberi contoh bahawa kemenangan dapat dicapai apabila setiap ahli pasukan memainkan peranan dengan baik dan saling mempercayai antara satu sama lain,” katanya dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng
Ujarnya lagi, sukan merupakan medium penting dalam membentuk generasi yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing menerusi penerapan nilai kepimpinan, tanggungjawab serta semangat untuk terus berusaha walaupun berdepan cabaran.
Oleh Carolyne Utih