KUALA LUMPUR: Penganjuran Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2021 (SMIDEX 2021) buat pertama kalinya akan diadakan secara dalam talian melalui portal MyAssist MSME selepas 20 tahun ia berlangsung.
SME Corporation Malaysia (SME Corp) dalam satu kenyataan berkata penganjuran SMIDEX kali ke-21 yang bermula 1 hingga 23 Dis, dengan tema ‘PMKS: Bangkit Kembali!’ itu dilaksanakan sepenuhnya dalam suasana baharu menerusi laman web www.myassist-msme.gov.my berikutan penularan wabak Covid-19.
“Objektif utama penganjuran SMIDEX 2021 yang telah dilaksanakan sejak 1996 itu bertujuan menghargai sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai tulang belakang ekonomi negara.
“Selain itu, ia juga dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran serta mempromosikan produk termasuk perkhidmatan PKS tempatan, memupuk budaya keusahawanan dan juga sebagai platform untuk menyebarkan maklumat terkini kepada PKS,” menurut kenyataan itu.
Majlis perasmian akan diadakan di Pusat Kovensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 10.00 pagi, 7 Disember.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, SMIDEX 2021, anjuran SME Corp yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah mendapat kerjasama pelbagai kementerian, agensi serta pelbagai pemegang taruh dari sektor swasta.
SME Corp memaklumkan bahawa penganjuran SMIDEX 2021 bertujuan menyokong usahawan dan PKS di seluruh negara dalam kebangkitan mereka bagi memulakan dan meneruskan perniagaan pasca Covid-19.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk PKS antaranya seperti e-pameran yang melibatkan penyertaan 150 pempamer secara maya dari seluruh negara serta sesi biz-talk iaitu sesi perkongsian maklumat oleh rakan-rakan strategik, ahli-ahli panel mengenai pelbagai topik perniagaan seperti pengurusan kewangan, pendigitalan, penjenamaan dan pengurusan perniagaan.
Antara topik yang akan dibincangkan pada sesi biz-talk adalah Exploring New Business Horizon Via Digitalisation by HP dan Microsoft, Get The Right Shot For A Better Financial Health oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), SME Bank dan Maybank serta Inclusive Business: Farm Fresh Success Story.
Selain itu, SMIDEX 2021 juga menyediakan perkhidmatan nasihat dalam talian dan sesi padanan perniagaan membabitkan syarikat penaung yang merangkumi firma multinasional, syarikat milik kerajaan, pasar raya dan syarikat besar.
SMIDEX 2021 juga turut menjayakan program ‘technology need pitching’ untuk PKS yang berminat dalam mengembangkan perniagaan mereka bersama penyedia teknologi yang berpotensi seperti universiti, institut penyelidikan dan rakan strategik seperti Oracle NetSuite, Telekom Malaysia (TM), Huawei serta Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC).
Sejumlah 112 kaunselor perniagaan terlatih juga akan membantu serta memberikan khidmat nasihat dalam talian secara percuma kepada para usahawan dan PKS yang disediakan di bawah MeetMe.
Maklumat lanjut mengenai SMIDEX 2021 boleh dilayari melalui laman sesawang www.smidex.my atau mengikuti media sosial rasmi SME Corp Malaysia di Facebook dan Instagram. – Bernama