
PETRA JAYA: Sarawak bakal menganjurkan Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2025 sekitar Jun atau Julai ini, yang turut diselarikan dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) peringkat negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, walaupun Sarawak bukan tuan rumah rasmi bagi HAWANA tahun ini, elemen sambutan seperti majlis penghargaan dan anugerah kepada wartawan veteran serta tenaga kerja di belakang tabir akan diteruskan sebagai tanda penghormatan kepada penggiat industri media tempatan.
“Kita akan kekalkan malam penghargaan seperti tahun lalu, yang mana anugerah khas akan diberikan kepada jurufoto, videografer, penyunting, DJ dan kru kreatif lain yang memainkan peranan besar tetapi jarang diberi perhatian,” katanya semasa ditemui media pada majlis UKAS Berambeh Raya 2025 di English Tea House, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa fokus utama SMEC adalah membincangkan masa depan media, termasuk pengaruh kecerdasan buatan (AI) dalam dunia kewartawanan serta kedudukan media tradisional seperti radio.
Menurutnya, ada cadangan agar sesi khas turut diadakan bersama stesen radio seperti RTM dan Kupi Kupi FM untuk membincangkan hala tuju platform yang semakin dianggap sebagai ‘sunset industry’.
“Kita mahu mereka kongsikan bagaimana radio boleh kekal relevan, bukan hanya sebagai saluran hiburan, tetapi sebagai medium komunikasi masyarakat yang berkesan,” tambahnya.
Untuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan pengamal media, Abdullah turut memaklumkan bahawa UKAS merancang penganjuran acara sukan santai yang akan dilangsungkan di tiga zon – Kuching, Sibu dan Miri.
Setiap zon akan menampilkan aktiviti berbeza dan tidak semestinya diadakan secara serentak.
“Inisiatif ini bertujuan menghimpunkan komuniti media dalam suasana santai, sebagai ruang ‘escapism’ dari tekanan kerja harian. Kadang kala, kita semua perlu masa untuk bersantai bersama,” jelasnya lagi.
Selain itu, kerjasama strategik juga sedang dirancang bersama institusi pengajian tinggi tempatan yang menawarkan program komunikasi massa, bagi melibatkan pelajar dalam penganjuran HAWANA atau SMEC serta memberi mereka pendedahan awal kepada dunia kewartawanan.
Abdullah turut memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan sesi taklimat khas kepada Premier Sarawak pada 23 April ini untuk membentangkan pelan penganjuran serta penstrukturan semula organisasi UKAS.
Antara perkara utama yang bakal dibentangkan ialah cadangan penubuhan meja penyelidikan khusus bagi pelbagai komuniti seperti Cina dan Iban.
“Kita mahu suara setiap komuniti diangkat oleh wakil daripada komuniti itu sendiri, agar isu yang diketengahkan benar-benar mencerminkan keperluan mereka. Harapan dan pandangan komuniti Cina di bandar tentu berbeza dengan mereka di luar bandar, begitu juga dengan masyarakat Iban dan Melayu,” katanya.
Oleh Amanda L