KUALA LUMPUR: Seramai 230 penyewa Kompleks Premis Usahawan SME Bank kini tidak perlu membayar sewa bagi tempoh moratorium April hingga September 2020 apabila SME Bank mengambil langkah untuk menanggung bayaran sewa bagi tempoh tersebut.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam kenyataan hari ini berkata mereka juga akan diberi pengurangan bayaran sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan berikutnya, dari Oktober 2020 hingga Mac 2021.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif pengecualian bayaran sewa bagi tempoh April hingga September 2020 ini akan memberikan penjimatan kos operasi sebanyak RM2.3 juta.
“Manakala bagi diskaun 50 peratus untuk bayaran sewa bagi tempoh enam bulan seterusnya pula akan memberikan penjimatan lebih RM1.15 juta kepada penyewa,” katanya.
Beliau berkata langkah yang diambil oleh SME Bank ini seiring dengan pengumuman 29 inisiatif jangka pendek dan sederhana yang diambil oleh MEDAC dalam membantu lebih 20,000 orang usahawan PKS kembali meningkatkan semula prestasi perniagaan mereka yang terjejas akibat Covid-19.
Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Aria Putera Ismail berkata, bagi memudahkan proses, inisiatif ini akan dijalankan secara automatik dan penyewa tidak perlu membuat sebarang permohonan.
“Bagi penyewa yang terus membayar semasa tempoh moratorium ini, bayaran mereka akan dibawa ke hadapan.
“SME Bank amat proaktif dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan efisien kepada usahawan PKS yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.
SME Bank telah memperkenalkan Program Kemudahan PKS (SME Relief Program (SRP)) bagi mengurangkan beban kewangan usahawan PKS yang bersasar, memperuntukkan dana bernilai RM2.1 bilion bagi Skim SME Go dan Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF) di bawah PENJANA serta menyediakan pelbagai dana lain yang diumumkan kerajaan melalui PRIHATIN seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Agromakanan, Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) dan Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES).
Maklumat lanjut mengenai kemudahan ini boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-26037700.- Bernama