KUCHING: SMD Semikonduktor akan mengetengahkan kereta lumba berkuasa litar bersepadu (IC), osiloskop dan gramofon yang dihasilkan pelajar sekolah menengah serta universiti dari seluruh Sarawak sempena pelancaran Pusat Sains Sarawak pada esok hari.
Menurut kenyataan SMD Semikonduktor, Projek berkenaan merupakan hasil inovasi pelajar menerusi Sarawak IC Design Make-A-Thon, sebuah program pembangunan bakat yang memberi pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai reka bentuk litar bersepadu (IC).
“Hasil ciptaan tersebut membuktikan usaha berterusan syarikat dalam memupuk bakat tempatan dalam bidang reka bentuk cip, sekali gus menjadi langkah penting ke arah merealisasikan visi Sarawak untuk menghasilkan cip milik sendiri.
“Antara hasil inovasi yang dipamerkan itu merupakan projek pemenang anugerah yang menunjukkan kreativiti, keupayaan teknologi serta kebolehan generasi muda Sarawak dalam bidang semikonduktor.
“Pameran tersebut menggunakan Pusat Sains Sarawak sebagai platform pembelajaran dan penerokaan bagi mendekatkan teknologi semikonduktor serta litar bersepadu kepada golongan muda menerusi pengalaman interaktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melalui pendekatan berkenaan, SMD Semikonduktor berharap dapat mencetuskan minat generasi baharu untuk meneroka, mempelajari dan menyertai industri yang bakal memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi Sarawak.
Usaha itu selari dengan visi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu inovasi, dengan pembangunan bakat berkualiti tinggi dan bertaraf dunia sebagai antara keutamaan negeri.
SMD Semikonduktor berkata, pelaburan dalam pembangunan bakat muda akan membantu melahirkan pereka cip, jurutera dan pemimpin teknologi masa depan yang mampu menyokong pertumbuhan ekosistem semikonduktor Sarawak.
“Generasi baharu yang dilengkapi kemahiran teknologi mampu memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negeri, selain membuka lebih banyak peluang dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
“Pameran berkenaan turut menjadi galakan kepada lebih ramai anak muda Sarawak untuk menceburi bidang teknologi semikonduktor dengan menunjukkan bahawa masa depan industri itu boleh bermula dari Sarawak sendiri,” ujarnya.
Pusat Sains Sarawak bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada esok (29 Julai).
Pusat berkenaan berperanan sebagai hab untuk mencetuskan rasa ingin tahu serta mempromosikan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kepada pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.




