KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) disarankan memasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan atau penempatan baharu.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata saranan itu wajar dipertimbangkan pihak berkenaan berikutan ia adalah inisiatif untuk menjaga keselamatan penduduk.
“Pemasangan CCTV juga boleh menjadi syarat mandatori kepada pemaju perumahan atau jawatankuasa tempatan yang ingin membina perumahan atau penempatan baharu,” katanya.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) berkata demikian di Majlis Pelancaran CCTV untuk Lebuh India, Jalan Courthouse & Courthouse Connecter di The Waterfront Hotel semalam.
Menurut Dr Abdul Rahman saranan itu boleh dimulakan dahulu di dalam kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan seterusnya meliputi ke kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
“Selain memberi kebaikan kepada penduduk setempat, pemasangan CCTV ini juga menjadikan bandar raya ini bakal setara (jaminan keselamatan) dengan taraf bandar utama di Malaysia,” ujarnya.
Sementara bercakap mengenai pemasangan CCTV di lokasi tumpuan pelancong dan pusat bandar raya ini iaitu Lebuh India, Jalan Courthouse dan jalan penghubung Courthouse ke Plaza Merdeka Dr Abdul Rahman mendedahkan inisiatif berkenaan merupakan.
Projek perintis oleh Kerajaan Sarawak sejajar dengan dasar ekonomi digital yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg 3 tahun lalu.
Pemasangan CCTV itu dilaksanakan oleh SMA kata Dr Abdul Rahman dengan kerjasama Jawatankuasa Jalan Pedestrian India.
”Terdapat 26 kamera yang dipasang di pelbagai lokasi di sekitar tiga kawasan tersebut sebagai ‘mata’ pihak polis untuk mencegah kegiatan jenayah dan membantu kecekapan penguatkuasaan undang-undang,” ujarnya.
Sekaligus kata Dr Abdul Rahman ia juga akan memastikan kemudahan teknologi maklumat (IT) dapat ditingkatkan dalam usaha Kuching ke arah pintar bandar.
Oleh Diyana Samsuddin