
PETRA JAYA: Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan emas daripada Persekutuan Tenis Asia (ATF), sekali gus meletakkan Sarawak dalam kelompok teratas persatuan tenis yang diiktiraf di peringkat Asia.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengiktirafan berkenaan merupakan satu pencapaian besar kerana ia bukan mudah untuk diraih oleh mana-mana persatuan atau venue sukan.
“Apabila menerima pengiktirafan antarabangsa seperti ini, ia bukan mudah. Bukan mudah untuk mana-mana venue, bukan mudah untuk mana-mana persatuan. Sebab itu saya amat gembira sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Kalendar Kejohanan Tenis Sarawak 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengiktirafan emas itu merupakan tahap tertinggi dalam sistem penilaian ATF, selain kategori perak dan gangsa, dan mencerminkan keyakinan tinggi badan induk tenis Asia terhadap SLTA.
“Ini adalah pengiktirafan emas kepada SLTA daripada ATF. Saya tidak pasti sama ada mana-mana persatuan tenis lain di Malaysia pernah menerima pengiktirafan seperti ini. Berkemungkinan ini yang pertama, dan ia satu pengiktirafan yang sangat besar,” katanya.

MENTERI Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menunjukkan pengiktirafan emas yang diperoleh oleh SLTA ketika sidang media pengumuman Kalendar Kejohanan Tenis Sarawak 2026 di Bangunan Baitulmakmur II , Petra Jaya, hari ini. Foto Shahrul Qaizat
Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan tahap komitmen tinggi SLTA dalam menganjurkan kejohanan tenis antarabangsa secara konsisten, khususnya kejohanan peringkat remaja yang menjadi asas kepada pembangunan pemain elit.
“Untuk sampai ke peringkat senior dan kejohanan Grand Slam, seseorang pemain perlu melalui peringkat remaja terlebih dahulu. Itulah kepentingan penganjuran kejohanan remaja yang selama ini dilaksanakan oleh SLTA,” ujarnya.
Daripada 44 negara ahli ATF, hanya tiga negara menerima pengiktirafan emas tersebut, iaitu China (Hainan), Kazakhstan dan Malaysia melalui SLTA, manakala negara lain menerima pengiktirafan perak dan gangsa.
Antara kelebihan pengiktirafan emas itu ialah pengecualian yuran kelulusan penganjuran kepada Persekutuan Tenis Antarabangsa dan Persekutuan Tenis Asia, selain keutamaan untuk dipertimbangkan sebagai tuan rumah kejohanan antarabangsa.
Beliau berkata, keistimewaan tersebut menjelaskan sebab SLTA tidak pernah gagal menganjurkan kejohanan antarabangsa setiap tahun, termasuk kejohanan remaja bertaraf tinggi yang disertai pemain dari pelbagai negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata kemudahan tenis di bawah pengurusan SLTA akan menjalani kerja naik taraf secara berperingkat sebagai persediaan penganjuran temasya sukan utama serta kejohanan bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, antara tumpuan utama naik taraf ialah sistem pencahayaan gelanggang bagi membolehkan perlawanan dijalankan pada waktu siang dan malam, selain pelebaran kawasan tempat duduk penonton supaya lebih selesa dan mampu menampung kehadiran lebih ramai penyokong.
“Tempat duduk penonton yang sebelum ini terhad di bahagian tengah akan diperluaskan sepanjang gelanggang utama. Kemudahan sedia ada akan dipertingkatkan tanpa menjejaskan penganjuran kejohanan lain,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa semua kerja naik taraf akan dilaksanakan mengikut peraturan badan induk tenis antarabangsa, khususnya keperluan keseragaman gelanggang, selain memastikan kemudahan sedia ada yang berjumlah 13 gelanggang adalah mencukupi bagi penganjuran kejohanan berskala besar.
Oleh Shahrul Qaizat