
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot, menegaskan beliau tidak bimbang dengan prestasi tumpul Mohamed Salah yang kini melalui enam perlawanan tanpa jaringan.
Salah, 33, gagal menjaringkan gol Liga Perdana daripada permainan terbuka sejak aksi pembukaan musim ini dan turut digugurkan daripada kesebelasan utama ketika kemenangan besar 5-1 ke atas Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.
Penyerang Mesir itu juga dikritik selepas mensia-siakan dua peluang keemasan dalam kekalahan 2-1 kepada Manchester United di Anfield minggu lalu.
Namun Slot tetap yakin bintang utama pasukannya itu akan kembali menemui rentak.
“Perkara terakhir yang saya risaukan ialah Mo tidak menjaringkan gol. Itu sudah menjadi kebiasaannya sepanjang karier, dan saya percaya dia akan kembali menjaringkan gol untuk kami tidak lama lagi,” kata Slot.
Jurulatih dari Belanda itu mengakui perubahan besar dalam skuad selepas pemergian Trent Alexander-Arnold ke Real Madrid serta kecederaan beberapa tonggak turut memberi kesan kepada keseimbangan pasukan, termasuk persefahaman di bahagian kanan yang ditempuh Salah.
Liverpool yang memulakan musim dengan tujuh kemenangan berturut-turut kini tewas tiga perlawanan Liga Perdana dan jatuh ke tangga keempat, empat mata di belakang pendahulu Arsenal.
Slot turut mengesahkan Jeremie Frimpong dan penjaga gol Alisson Becker tidak dapat diturunkan menentang Brentford esok kerana kecederaan hamstring, manakala Alexander Isak dan Ryan Gravenberch masih belum pasti cergas sepenuhnya.
– AFP