
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot, mengakui berasa ‘bersalah’ atas kemerosotan prestasi Liverpool yang dianggapnya tidak masuk akal menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang PSV Eindhoven pada Rabu depan.
Liverpool tewas 8 daripada 11 perlawanan terakhir, termasuk kekalahan 3-0 kepada Nottingham Forest di Anfield Sabtu lalu — kekalahan keenam dalam tujuh aksi liga.
Prestasi jauh daripada jangkaan
Selepas menjadi juara Liga Perdana musim lalu dan berbelanja besar pada musim panas, Liverpool dijangka mendominasi musim ini.
Namun Pertahanan mereka kerap dibolosi. Bahagian tengah dan serangan gagal mencapai standard musim lalu.
Kini berada di tangga ke-12 Liga Perdana, kedudukan terburuk dalam lebih 10 tahun.
Slot mengakui keadaan ini sangat mengejutkan:
“Tidak masuk awal. Sesuatu yang saya tidak jangka, terutama sebagai pengurus Liverpool.
Keadaan ini tidak menyenangkan dan saya berasa bertanggungjawab serta bersalah.”
Isu keinginan dan konsentrasi
Kapten Liverpool Virgil van Dijk sebelum ini menyeru pemain untuk lebih bertanggungjawab.
Namun Slot menolak dakwaan bahawa pemain hilang keinginan.
Katanya pemain bukan tidak berjuang tetapi mereka hilang fokus pada detik penting, terutama kerana terlalu memikirkan permainan penguasaan bola sehingga kurang agresif ketika bertahan.
Slot menegaskan: “Dalam beberapa detik kami kalah terlalu banyak duel. Pemain tidak cukup ‘switched on’ ketika bertahan.”
Harapan di Liga Juara-Juara
Walaupun bergelut dalam liga Liverpool kini kedudukan ke-8 dalam carta keseluruhan Liga Juara-Juara.
Kemenangan ke atas PSV akan mengukuhkan peluang layak ke pusingan 16 terbaik.
Juga sangat penting untuk memulihkan moral pasukan.
Gakpo: Pasukan sudah berbincang secara jujur
Penyerang Belanda, Cody Gakpo, mendedahkan pemain mengadakan perbincangan dalaman selepas kekalahan kepada Forest.
“Kami rasa malu… Kami bercakap jujur sesama sendiri tentang apa yang perlu diperbaiki.”
Beliau menambah bahawa pemain sedar mereka perlu lebih bertanggungjawab di dalam dan luar padang. – AFP