
Pengendali Liverpool, Arne Slot. Foto AFP
LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot memuji kekuatan mental pasukannya selepas berjaya mengekalkan permulaan sempurna dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) serta terus menguasai derbi Merseyside dengan kemenangan 2-1 ke atas Everton, semalam.
Gol Ryan Gravenberch dan Hugo Ekitike pada babak pertama sudah cukup menghadiahkan kemenangan kelima berturut-turut dalam EPL buat juara bertahan itu.
Bagaimanapun, skuad Slot mula kehilangan tenaga selepas rehat pada perlawanan ketiga mereka dalam tempoh tujuh hari, sebelum Everton merapatkan kedudukan menerusi jaringan Idrissa Gana Gueye untuk menyalakan harapan.
Liverpool sebelum ini bergantung kepada gol lewat permainan untuk memastikan kemenangan dalam empat aksi EPL terdahulu dan juga aksi pertama Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, pertengahan minggu lalu.
Namun kali ini, barisan pemain The Reds menggalas tugas terbaik mereka dalam 30 minit pertama, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Everton di Anfield sejak abad ke-21 di hadapan penyokong tuan rumah.
“Anda dapat lihat bagaimana baiknya kami bermain apabila masih segar pada 45 minit pertama. Kami mungkin kehilangan sedikit tenaga, tetapi kami tidak pernah hilang mentaliti,” kata Slot.
Slot turut merehatkan dua pembelian lebih £100 juta (RM566.6 juta), iaitu Florian Wirtz dan Alexander Isak, namun Liverpool tampil lebih seimbang dengan kembalinya Alexis Mac Allister bergandingan bersama Dominik Szoboszlai dan Gravenberch yang cemerlang di bahagian tengah.
Pemain tengah Belanda itu memecah kebuntuan seawal minit kesembilan menerusi penyudah kemas hasil hantaran silang Mohamed Salah.
Everton pula hadir dengan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan sebelum ini, banyak dibantu oleh kebangkitan prestasi Jack Grealish.
Pemain yang dipinjamkan dari Manchester City itu seperti dijangka menjadi watak utama pasukannya pada babak pertama.

Liverpool pantas membalas dengan gerakan berpasukan menarik yang disudahkan Hugo Ekitike, sekali gus gol ketiganya dalam lima perlawanan EPL sejak berpindah dari Eintracht Frankfurt.
Namun babak kedua memperlihatkan cerita berbeza apabila Liverpool hampir melihat kelebihan dua gol mereka terpadam. – AFP