Arne Slot membuat 10 pertukaran dalam kesebelasan pasukannya ketika tewas 3-0 kepada Crystal Palace. Foto AFP
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot, mempertahankan keputusannya menurunkan pasukan yang banyak diubah selepas kekalahan 3-0 kepada Crystal Palace dalam saingan Piala Liga awal pagi tadi, yang terus memanjangkan derita skuad The Reds.
Juara Liga Perdana itu kini tewas enam daripada tujuh perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, termasuk empat kekalahan berturut-turut dalam liga.
Slot jelas menunjukkan keutamaannya sebelum sepak mula apabila membuat 10 pertukaran, dengan bintang utama seperti Virgil van Dijk dan Mohamed Salah langsung tidak disenaraikan dalam skuad.
Barisan muda yang diturunkan mudah ditundukkan Palace, yang kini sudah menewaskan Liverpool tiga kali musim ini.
Ismaila Sarr meledak dua gol pada separuh masa pertama sebelum Yeremy Pino menambah satu lagi jaringan lewat permainan, selepas pemain gantian Liverpool, Amara Nallo, dilayangkan kad merah.
“Ia bukan standard Liverpool untuk tewas enam daripada tujuh perlawanan,” kata Slot, yang menjadikan minggu sibuk di hadapan sebagai alasan di sebalik pilihannya.
Liverpool akan cuba memutuskan rentetan kekalahan Liga Perdana mereka menentang Aston Villa yang sedang berada dalam prestasi baik pada Sabtu ini.
Real Madrid pula akan berkunjung ke Anfield dalam saingan Liga Juara-Juara pada Selasa, sebelum perlawanan menentang Manchester City pada 9 November.
“Saya tidak boleh membiarkan pemain utama terpaksa menghadapi minggu seperti ini.
“Kami ada perlawanan malam ini (pagi tadi) kemudian hanya dua hari rehat sebelum perlawanan seterusnya, dua hari lagi sebelum menentang Real Madrid dan beberapa hari kemudian menentang Manchester City.
“Setiap orang boleh mempunyai pandangan masing-masing, tetapi dengan skuad yang kami ada — mungkin hanya 15 atau 16 pemain utama yang benar-benar tersedia — inilah keputusan yang saya buat.”
Sementara itu, juara Piala FA Palace kini mengintai satu lagi kejuaraan, namun dihadiahkan cabaran sukar apabila diundi bertemu Arsenal di tempat lawan pada peringkat suku akhir. – AFP