

LONDON: Selepas melalui hari terakhir jendela perpindahan yang sibuk dan permulaan sukar dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool kendalian Arne Slot diberi peluang menarik nafas.
Kemenangan ketiga berturut-turut menewaskan naib juara musim lalu, Arsenal pada hujung minggu lalu, membolehkan Liverpool mendahului liga dengan kelebihan dua mata.
Mereka bakal menyambung aksi menentang pasukan baharu dinaikkan pangkat, Burnley, pada Ahad minggu hadapan.
Seperti kebiasaan, Slot hanya mampu berdoa agar anak buahnya pulang tanpa sebarang kecederaan daripada tugasan antarabangsa.
Namun dengan perlawanan hanya berlangsung jam 2 petang Ahad, isu kepenatan tidak dijangka menjejaskan pemain, khususnya barisan kecil pemain Amerika Selatan.
Kegagalan mendapatkan Marc Guehi dari Crystal Palace bermakna Slot hanya memiliki empat pertahanan tengah.
Virgil van Dijk dan Ibrahima Konate yang mengalami kekejangan menentang Arsenal kekal pilihan utama, sementara Joe Gomez tampil meyakinkan ketika masuk sebagai pemain gantian dan dijangka lebih bersedia selepas dua minggu latihan.
Pendatang baharu, Giovanni Leoni, masih belum disenaraikan dan mungkin hanya akan diberi peluang pada saingan Piala Liga.
Di posisi bek kiri, Milos Kerkez kini mengatasi Andy Robertson dalam hierarki, manakala Alisson Becker kekal penjaga gol utama dengan Giorgi Mamardashvili sebagai pengganti.
Di sebelah kanan, Jeremie Frimpong berpotensi kembali daripada kecederaan hamstring setelah terlepas dua perlawanan, dengan Conor Bradley dijangka mendapat minit berharga bersama Ireland Utara.
Dominik Szoboszlai, yang cemerlang ketika diletakkan sebagai bek kanan kecemasan dalam dua minggu terakhir, kekal sebagai pilihan simpanan.
Di bahagian tengah, Ryan Gravenberch dan Alexis Mac Allister kembali digandingkan pada Ahad lalu, namun hanya bertahan sejam selepas Mac Allister digantikan kerana masih belum benar-benar cergas daripada kecederaan.
Curtis Jones boleh diturunkan sebagai tonggak tengah jika diperlukan, dengan Szoboszlai dan Wataru Endo turut menjadi pilihan.
Florian Wirtz menampilkan peningkatan ketara pada babak kedua ketika menentang Arsenal, tetapi posisi nombor 10 juga boleh diisi Szoboszlai atau Jones, manakala Hugo Ekitike menjadi alternatif.
Pemain muda Trey Nyoni masih belum diturunkan dalam Liga Perdana musim ini.
Persoalan utama pastinya sejauh mana penyerang baharu bernilai rekod kelab, Alexander Isak akan digunakan, selepas langsung tidak beraksi bersama Newcastle musim ini.
Jika dianggap cukup cergas untuk memulakan perlawanan, Isak bakal mengetuai jentera serangan menggantikan Ekitike, dengan Slot dijangka mengekalkan formasi 4-2-3-1 buat masa ini.
Namun, gandingan Isak-Ekitike mungkin dipertimbangkan pada perlawanan akan datang.
Ekitike pula akan bersaing dengan Cody Gakpo di bahagian kiri, sementara Mohamed Salah hampir pasti terus menguasai posisi kanan.
Federico Chiesa dan Rio Ngumoha menjadi pilihan tambahan di jentera serangan.