Hantaran media sosial Mohamed Salah meningkatkan tekanan dan perhatian terhadap pengurus Liverpool FC, Arne Slot. Foto fail AFP
LIVERPOOL: Arne Slot berkata beliau dan Mohamed Salah berkongsi matlamat yang sama demi kepentingan terbaik Liverpool FC selepas pemain Mesir itu dilihat seolah-olah menyindir pengendali Belanda tersebut menjelang pemergiannya dari kelab.
Tempoh sembilan tahun penuh gemilang Salah di Anfield bakal berakhir selepas aksi menentang Brentford FC pada Ahad.
Liverpool masih memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk menjamin kedudukan lima teratas dan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan selepas tewas memalukan 4-2 kepada Aston Villa FC minggu lalu.
Sehari selepas perlawanan itu, Salah memuat naik hantaran di media sosial menyeru agar Liverpool kembali kepada corak permainan “heavy metal” yang membawa kejayaan di bawah Jurgen Klopp.
Walaupun musim ini dianggap mengecewakan dan tekanan daripada penyokong semakin meningkat, Slot dijangka kekal membimbing pasukan hingga tahun terakhir kontraknya.
“Saya fikir Mo dan saya mempunyai kepentingan yang sama — kami mahu yang terbaik untuk kelab ini,” kata Slot yang memenangi Liga Perdana pada musim pertamanya bersama Liverpool tahun lalu.
“Kami sama-sama menjadi sebahagian daripada kejayaan menghadiahkan penyokong kejuaraan liga pertama dalam tempoh lima tahun — tetapi kami juga sedar mengenai musim ini.
“Apa yang kami mahu, apa yang dia mahu dan apa yang saya mahu ialah kelab ini kembali berjaya seperti musim lalu. Itu fokus utama saya sekarang kerana perlawanan Ahad boleh menjadi asas penting menjelang musim depan. Itu yang patut kami beri tumpuan.”
Liverpool memasuki aksi terakhir musim ini dengan ketinggalan 23 mata di belakang juara, Arsenal FC.
Slot turut mengucapkan tahniah kepada Arsenal atas kejuaraan pertama mereka dalam tempoh 22 tahun, namun berkata kejayaan itu menunjukkan perubahan gaya permainan dalam Liga Perdana Inggeris yang kini lebih tertumpu kepada situasi bola mati.
“Memenangi Liga Perdana bukan sesuatu yang mudah dan mereka melakukan tugas luar biasa musim ini, tetapi bagi saya mereka merupakan juara yang berbeza berbanding pasukan dalam 10 musim lalu,” tambah Slot.
“Pertama sekali kerana buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, 40 peratus gol mereka hadir daripada situasi bola mati.
“Jadi bola sepak telah berubah dan berkembang, dan kami perlu memastikan kami mampu bersaing dengan Arsenal dan Manchester City FC musim depan dengan identiti permainan kami sendiri.”
Slot bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada Salah akan diturunkan dalam penampilan perpisahannya.
Pemain berusia 33 tahun itu baru kembali daripada kecederaan hamstring sebagai pemain gantian lewat ketika menentang Aston Villa. – AFP