Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Slot gembira sambut kepulangan Salah ke Liverpool selepas AFCON
  • SUKAN

Slot gembira sambut kepulangan Salah ke Liverpool selepas AFCON

Utusan Sarawak 12 hours ago

Mohamed Salah. - Foto fail AFP

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot, berkata beliau mengalu-alukan kepulangan Mohamed Salah ke Anfield walaupun pasukannya memiliki seramai 15 penyerang, ketika bintang Mesir itu hampir kembali daripada Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Salah dijadual beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Mesir menentang Nigeria di Maghribi, Sabtu ini.

Kepulangannya menjadi tumpuan utama susulan temu bual panas awal bulan lalu apabila Salah mengkritik Liverpool. 

Penyerang berusia 33 tahun itu mendakwa kelab meletakkannya “di bawah bas” selepas direhatkan dalam tiga perlawanan berturut-turut, selain mengakui tidak mempunyai hubungan dengan Slot.

Namun, Salah kemudiannya dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan Liga Perdana Inggeris 2-0 ke atas Brighton pada 13 Disember lalu dan mencipta satu bantuan jaringan. 

Slot selepas itu menegaskan isu berkenaan sudah berlalu.

Slot, yang menyaksikan pasukannya berada di tangga keempat dan bakal menerima kunjungan Burnley yang bergelut pada Sabtu, ditanya mengenai kepulangan Salah pada sidang media pra-perlawanan.

“Pertama sekali, dia perlu bermain satu lagi perlawanan besar untuk Mesir pada Sabtu,” kata jurulatih dari Belanda itu.

“Kemudian dia akan kembali bersama kami, dan saya gembira dia kembali. Mo sangat penting buat kelab ini, buat saya, jadi saya gembira dia kembali.

“Walaupun saya ada 15 penyerang, saya tetap gembira jika dia kembali. Tapi itu bukan situasi kami sekarang. Jadi saya gembira dapat memilikinya semula selepas satu lagi perlawanan penting yang perlu dia hadapi.”

Perbualan peribadi

Slot enggan mendedahkan kandungan perbualannya dengan Salah, yang menyertai Liverpool pada 2017.

“Saya fikir apa yang berlaku antara Mo dan saya, sama ada melalui telefon atau di sini, kekal antara kami berdua,” katanya.

“Saya rasa tidak perlu untuk saya berkongsi semua perbualan peribadi dengan mana-mana pemain saya.”

Salah menjaringkan 29 gol liga musim lalu untuk memenangi Kasut Emas Liga Perdana ketika Liverpool merangkul kejuaraan liga England ke-20. 

Namun, dia hanya merekodkan empat gol dalam kempen semasa.

Ditanya bila Salah dijangka boleh diturunkan, Slot berkata: “Minggu depan. Kami sedang berbincang dengannya tentang apa yang dijangkakan di sana dan apa yang kami jangkakan di sini.

“Tetapi yang paling utama, dia perlu melalui satu perlawanan penting pada Sabtu, dan minggu depan dia akan kembali bersama kami.”

Liverpool akan menentang Marseille kendalian Roberto de Zerbi dalam Liga Juara-Juara pada Rabu sebelum bertandang ke Bournemouth hujung minggu depan.

Pertahanan kejuaraan Liga Perdana Liverpool sebelum ini goyah susulan enam kekalahan dalam tujuh perlawanan liga bermula lewat September. 

Namun, Slot berjaya menstabilkan pasukan dan kini mereka tidak tewas dalam 11 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

“Saya dapat melihat pemain semakin berkembang, keyakinan mereka kembali dan prestasi semakin baik serta cergas,” katanya.

“Jadi kami hanya menunggu saat yang tepat untuk melonjakkan musim ini dengan lebih jauh lagi berbanding 11 perlawanan terakhir.” – AFP

Continue Reading

Previous: Pearly-Thinaah, Aaron-Wooi Yik teruskan cabaran Malaysia di Terbuka India

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.