Pengurus Liverpool, Arne Slot. Foto fail AFP
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot berkata pasukannya “tidak lagi mampu melakukan banyak kesilapan” ketika mereka berjuang untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris susulan keluarnya kempen mempertahankan kejuaraan.
The Reds kini berada di tangga keenam liga, dua mata di belakang Manchester United yang berada di tempat keempat, menjelang kunjungan Newcastle ke Anfield awal pagi Ahad ini.
Dalam kedudukan liga yang padat, hanya lima mata memisahkan United dengan Sunderland yang berada di tangga ke-11. Newcastle kendalian Eddie Howe pula tiga mata di belakang Liverpool.
Penamat empat teratas Liga Perdana menjamin kelayakan automatik ke Liga Juara-Juara musim depan.
“Jelas sekali apabila semakin hampir ke penghujung musim, peluang untuk melakukan kesilapan semakin berkurang,” kata Slot pada Jumaat.
“Dan sekarang kami berada dalam situasi di mana kami tidak mampu lagi melakukan banyak kesilapan, kerana kami sudah melakukan terlalu banyak, dan dengan kesilapan itu saya maksudkan melepaskan gol pada minit-minit terakhir.”
Liverpool bolos pada minit ke-95 untuk tewas 3-2 kepada Bournemouth minggu lalu.
The Reds mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara selepas kemenangan bergaya 6-0 ke atas Qarabag pada Rabu.
Namun, prestasi domestik mereka amat mengecewakan — hanya lima kemenangan daripada 18 perlawanan terakhir liga — selepas menjuarai kejuaraan liga Inggeris ke-20 musim lalu.
“Kami sedar sepenuhnya bahawa satu kemenangan tidak mencukupi di kelab ini, jadi kemenangan seterusnya perlu datang dengan pantas menentang Newcastle,” kata Slot.
“Saya 100 peratus pasti perlawanan itu lebih mencabar berbanding yang kami hadapi pada Rabu, tetapi kemenangan sentiasa membantu.”
Pengendali dari Belanda itu berkata beliau gembira melihat Mohamed Salah kembali mencatat jaringan menentang Qarabag, gol pertamanya untuk Liverpool sejak 1 November, namun menekankan peranan pasukan secara keseluruhan.

“Pasukan perlu memastikan dia berada di posisi yang baik, dan saya rasa itulah yang kami lakukan dengan lebih kerap, bukan sahaja dengannya tetapi dengan ramai pemain lain,” kata Slot.
“Saya rasa saya sudah menyebutnya beberapa kali kebelakangan ini — permainan kami di antara dua kotak penalti cukup baik untuk penyerang kami berada dalam posisi yang menjanjikan dengan kerap, dan kami tahu jika ini berlaku cukup kerap, pemain kami akan melakukan apa yang kami harapkan kerana mereka mempunyai kualiti yang tinggi.”
Slot turut memaklumkan bahawa pertahanan Jeremie Frimpong akan diketepikan selama beberapa minggu selepas mengalami kecederaan ketika menentang Qarabag, namun kecederaan itu “tidak seteruk yang kami sangkakan”.
Pertahanan tengah Ibrahima Konate, yang sebelum ini tidak beraksi susulan pemergian bapanya, telah disenaraikan dalam skuad untuk perlawanan menentang Newcastle. – AFP