
Liverpool kendalian Arne Slot kini hanya satu mata di belakang Arsenal di puncak Liga Perdana Inggeris, dengan masih banyak masa untuk memperbetulkan haluan. - Foto AFP
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot, perlu mencari jalan penyelesaian selepas tiga kekalahan berturut-turut yang dialami juara Liga Perdana itu, namun pertemuan dengan Manchester United, esok mungkin lebih penting buat Ruben Amorim.
AFP Sport meneliti cabaran yang dihadapi kedua-dua pengurus menjelang pertembungan hangat antara dua kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak England.
Jurulatih dari Belanda itu menjadikan tugas sukar menggantikan Jurgen Klopp yang kelihatan mudah musim lalu apabila Liverpool menjuarai liga dengan baki empat perlawanan, menyamai rekod United dengan 20 gelaran Liga Inggeris.
Hanya sekali dalam musim sulung Slot, Liverpool mengalami kekalahan berturut-turut — ketika tersingkir dari Liga Juara-Juara dan tewas dalam final Piala Liga pada Mac, akibat jadual padat musim sejuk yang memenatkan.
The Reds berazam membina kekuatan baharu dengan melabur rekod Liga Perdana hampir £450 juta (AS$604 juta) untuk pemain baharu dalam jendela perpindahan.
Dua kali Liverpool memecahkan rekod perpindahan kelab sendiri bagi mendapatkan Alexander Isak dan Florian Wirtz.
Namun, kedua-duanya masih belum menjaringkan gol Liga Perdana untuk The Reds, dan rombakan besar skuad itu telah mengganggu kestabilan pasukan mantap musim lalu.
Mohamed Salah kelihatan jauh daripada prestasi terbaiknya dan turut menerima kritikan atas usahanya ketika bertahan sebelum Chelsea menjaringkan gol kemenangan lewat dua minggu lalu.
Walaupun memenangi tujuh perlawanan pertama musim ini dalam semua pertandingan, tanda-tanda amaran sudah kelihatan buat Slot.
Persembahan hambar ditutup dengan kemenangan lewat beberapa kali — sehinggalah tuah Liverpool berakhir dengan kekalahan tipis kepada Crystal Palace, Galatasaray dan Chelsea.
Skuad Slot kini hanya satu mata di belakang pesaing utama Arsenal di puncak Liga Perdana, dengan masih banyak masa untuk memperbaiki keadaan.
Menambah derita United yang tidak pernah menang di Anfield selama lebih sedekad boleh menjadi pengangkat semangat terbaik buat juara bertahan itu.
Namun, apa-apa selain kemenangan akan menimbulkan persoalan besar tentang kemampuan Slot mengeluarkan potensi sebenar daripada barisan pemain berbakat tinggi yang dimilikinya.
Ruben Amorim terselamat buat sementara waktu selepas kemenangan 2-0 ke atas Sunderland sebelum rehat antarabangsa.
Pemilik bersama United, Jim Ratcliffe, malah mendakwa jurulatih dari Portugal itu mempunyai “tiga tahun” untuk membuktikan dirinya — kenyataan yang Amorim sendiri akui sukar dipercayai.
“Anda tahu, saya tahu dan Jim tahu bahawa bola sepak tidak berfungsi begitu,” kata bekas pengurus Sporting Lisbon itu pada Jumaat.
“Bagus untuk rasa disokong, tetapi dalam bola sepak — terutamanya di kelab besar — kita perlu buktikan setiap minggu bahawa kita bersedia untuk menang.”
United memulakan hujung minggu di tangga ke-10 selepas tiga kekalahan dalam tujuh perlawanan liga pertama dan masih kecewa dengan penyingkiran mengejut daripada Piala Liga kepada pasukan divisyen keempat, Grimsby.
Walaupun berbelanja besar lagi pada musim panas dengan rombakan barisan serangan bernilai £200 juta, tanda-tanda kemajuan masih belum kelihatan.

Hampir setahun selepas pelantikannya, Amorim masih belum mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana dan hanya mengutip 37 mata daripada 34 perlawanan liga.
Menamatkan kemarau kemenangan itu di Anfield akan menjadi kejayaan terbesar beliau sebagai pengurus United setakat ini — bukti kukuh bahawa beliau mampu menghidupkan semula gergasi England yang sedang tenat, walaupun ramai percaya masa depannya sudah ditentukan.
“(Pemecatan Amorim) akan berlaku cepat atau lambat,” kata bekas pemain tengah United, Nicky Butt, kepada The Times. “Saya tidak nampak keadaan akan berubah.” — AFP