
LIVERPOOL: Arne Slot mengakui walaupun Liverpool menamatkan baki tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan, ia tetap tidak akan menutup kritikan terhadap kegagalan mereka mempertahankan kejuaraan musim ini ketika beliau memberi tumpuan untuk memastikan tiket ke Liga Juara-Juara.
The Reds yang kini berada di tangga keempat liga dan hampir mengesahkan tempat ke pertandingan elit Eropah musim depan akan melayan Chelsea malam esok sebelum menamatkan musim menentang Aston Villa FC dan Brentford FC.
Liverpool memulakan kempen dengan lima kemenangan berturut-turut selepas berbelanja besar, namun prestasi mereka merudum sejak penghujung September dan bakal menamatkan musim tanpa trofi.

“Walaupun kami menang tiga perlawanan terakhir dengan keputusan yang sangat positif, saya rasa tidak semua orang akan melihat musim ini secara positif,” kata Arne Slot pada Jumaat.
“Yang penting sekarang, seperti yang saya katakan berkali-kali, kami perlu sekurang-kurangnya meraih satu kemenangan lagi yang kami fikir cukup untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara. Kami belum pasti kerana empat mata akan menjadikannya benar-benar terjamin.”
Pengendali dari Belanda itu berkata musim ini cukup sukar buat pasukannya yang menjulang gelaran liga Inggeris ke-20 musim lalu.
“Ia sentiasa memberi tekanan kepada pemain apabila anda kalah lebih banyak daripada yang sepatutnya, terutama di kelab seperti ini kerana pemain-pemain ini sudah biasa menang.
“Apabila mereka mula kalah, ia bukan satu perasaan yang menyenangkan, lebih-lebih lagi apabila anda bermain untuk kelab ini.
“Jelas sekali kami beraksi di bawah prestasi sebenar dalam Liga Perdana. Kami gagal mengutip mata yang sepatutnya kami peroleh.
“Jika dilihat dari segi persembahan juga, saya bukan mengatakan kami mempunyai musim yang baik dalam Liga Perdana, tetapi kami sebenarnya bermain lebih baik dan sepatutnya mengutip lebih banyak mata.”
Slot turut menepis kebimbangan bahawa musim depan akan menjadi satu lagi musim peralihan besar dengan beberapa pemain senior termasuk Mohamed Salah dan Andy Robertson dijangka meninggalkan kelab.
“Sebagai pengurus, anda tidak pernah bimbang. Anda hanya menantikan untuk mula bekerja dengan kumpulan pemain.
“Memang akan ada sedikit peralihan lagi, mungkin tidak sebesar musim panas lalu, tetapi kami perlu mengubah sedikit barisan pemain kerana dua pemain akan pergi. Salah seorang mungkin akan digantikan oleh Kostas Tsimikas kerana dia kembali daripada pinjaman.
“Jadi tidak, saya hanya menantikan untuk memulakan musim depan, tetapi itu bukan fokus utama saya sekarang. Fokus utama saya ialah melepasi baki tiga perlawanan ini sebelum bercuti.”
Penyerang Alexander Isak dan penjaga gol Giorgi Mamardashvili kembali menjalani latihan dan berpeluang diturunkan menentang Chelsea di Anfield.
Bagaimanapun, penjaga gol utama Alisson Becker dan Salah masih belum kembali berlatih bersama pasukan dan tidak akan beraksi. – AFP