SHAH ALAM: Sarawak bukan sahaja berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan acara terjun pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, malah kini semakin ‘lapar’ untuk menambah koleksi emas selepas melepasi sasaran awal dengan tujuh pingat emas setakat hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan skuad terjun Sarawak sudah mengumpul tujuh daripada 12 pingat emas yang dipertandingkan, termasuk emas terbaharu menerusi Elvis Priestly Clement dalam acara 10 meter platform individu lelaki, manakala Jared Aiden Harold meraih perak.
Presiden Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) yang juga Timbalan Ketua Kontinjen (ACDM) Akuatik Sarawak, Tan Kun Gee, berkata pencapaian tersebut jauh mengatasi sasaran awal pasukan yang hanya meletakkan sasaran dua emas sebelum temasya bermula.
Menurutnya, beliau secara peribadi sebelum ini menyasarkan empat emas, namun prestasi cemerlang atlet terjun Sarawak menyaksikan sasaran itu bukan sahaja dicapai, malah berjaya dilepasi.
“Pada awalnya jurulatih kata dua (emas). Saya mahu empat, sekarang kita sudah dapat enam ketika itu.
“Saya lapar. Saya mahu lebih lagi,” katanya secara berseloroh ketika ditemui selepas saingan terjun di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di sini, hari ini.
Koleksi emas Sarawak kemudian bertambah kepada tujuh selepas Elvis muncul juara acara 10 meter platform individu lelaki.


Tan berkata, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan skuad terjun Sarawak untuk terus mendominasi acara berkenaan selepas turut muncul juara keseluruhan pada Sukma Sarawak 2024.
Pada edisi lalu, skuad terjun Sarawak mengumpul sembilan pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.
“Kita masih ada dua lagi acara esok. Sasaran kita tetap emas,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi temasya akan datang, Tan berkata ASAS akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi memastikan atlet mendapat kemudahan serta latihan yang lebih baik, selain memberi tumpuan kepada pembangunan bakat muda.
Katanya, usaha melahirkan pelapis perlu diperkasakan dengan memberi ruang kepada atlet berusia seawal 10 hingga 12 tahun untuk dibentuk sejak peringkat akar umbi.
“Kita perlu bina atlet muda. Mereka ini semuanya ada di Sarawak dan kita perlu membentuk mereka supaya menjadi pelapis kepada pasukan sedia ada,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan atlet yang menyumbang emas pada edisi kali ini masih mempunyai peluang untuk beraksi pada Sukma akan datang, selain kemunculan beberapa bakat muda yang sudah dipilih menyertai program pasukan kebangsaan.
Tan turut memberi penghargaan kepada barisan jurulatih dan atlet yang bekerja keras sepanjang temasya, sambil menyifatkan kehadiran beliau bersama pasukan setiap hari sebagai sebahagian daripada usaha memberikan sokongan dan motivasi kepada atlet.
“Saya datang setiap hari untuk mereka. Dari pagi saya berada di sini, sarapan di sini dan sampai petang saya tidak balik.
“Bagi saya, kita perlu bersama mereka dan beri sokongan. Itu yang penting,” katanya.
Dengan baki dua acara yang masih menanti, skuad terjun Sarawak kini berpeluang menambah lagi koleksi emas dan mengulangi pencapaian sembilan emas yang diraih pada Sukma 2024.
Oleh Shahrul Qaizat





