
SIBU: SKUAD Rohani muncul johan Pertandingan Badminton Tertutup SKUAD Antidadah Sibu yang diadakan di Gelanggang Badminton, Wisma Pengakap, Jalan Awang Ramli Amit, semalam.
Naib Johan dimenangi SKUAD Aktif, tempat ketiga pula dimenangi SKUAD Prihatin dan SKUAD K.A.M.I. mendapat tempat keempat.
Seramai 50 orang ahli SKUAD Antidadah Sibu telah menyertai pertandingan tersebut.
Pusat Khidmat DUN N.55 Nangka, beberapa kelab, syarikat dan individu turut serta dalam menjayakan pertandingan.
Antaranya, All Badminton Combine (ABC), Maeltree Badminton Club, Rizqi Shop Enterprise, Nasi Ulam Sibu dan Banner Murah Sibu.
Pertandingan dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi SKUAD Antidadah Sibu mewakili Pengerusi SKUAD Antidadah Sibu, Mohamad Mostapha Lasot.
Pertandingan yang diadakan buat julung kali ini merupakan langkah positif yang dapat menggalakkan ahli-ahli mengamalkan gaya hidup sihat, menjana bakat serta riadah bersama perkongsian fakta kesan dan bahaya dadah.
Pada masa yang sama, pertandingan tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli-ahli, komuniti dan rakan pintar. Melalui aktiviti sukan juga dapat mengekalkan kecergasan dan menghindar daripada gejala dadah.
Kempen Antidadah Melalui Informasi (K.A.M.I.) juga digerakkan dalam menyampai serta menyebarluas kempen antidadah sepanjang pertandingan itu berlangsung.
Antara aktiviti lain yang diadakan sepanjang pertandingan berkenaan seperti pocket talk dan pendaftaran ahli baharu SKUAD Antidadah.
Turut hadir Setiausaha SKUAD Antidadah Sibu, Gloria Umi Dick, Bendahari SKUAD Antidadah Sibu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Nur Najwa Yusuf dan barisan jawatankuasa SKUAD Antidadah Sibu.
Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dan bergambar sebagai kenangan.
Oleh Akun Giman