
SIMANGGANG: Skuad Merpati FC dinobat sebagai juara pada Kejohanan Bola Sepak Liga Sri Aman 2025 selepas menewaskan Aqib X Kampung Boy FC dengan keputusan dramatik 2-1 yang berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman, petang semalam.
Kemenangan ini bukanlah hadir dengan mudah, Merpati FC dipaksa bekerja keras dalam perlawanan akhir yang penuh debar, sebelum dua jaringan emas oleh Abang Azri Fikri pada minit ke-36 dan Mohamad Hafizal pada minit ke-85 mengesahkan kejuaraan penuh makna itu.
Gol tunggal Aqib X Kampung Boy FC disumbangkan oleh Mohamad Syazwan pada minit ke-57, yang sempat menyuntik semangat kebangkitan buat pasukan itu.
Ketua Jurulatih Merpati FC, Mohd Hairulasfia Hasbi, menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil kerja keras serta semangat sepasukan yang tidak pernah luntur biarpun berdepan jadual padat.

“Pertukaran taktikal di saat akhir menjadi kunci kemenangan. Walaupun ada pemain cedera selepas aksi separuh akhir yang berlangsung hanya sehari sebelumnya, semangat juang pasukan tetap tinggi dan akhirnya membuahkan hasil,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Mohd Hairulasfia turut mengakui cabaran sengit yang diberikan pasukan lawan menjadikan perlawanan itu penuh dramatik.
“Kedua-dua pasukan jelas tidak mahu mengalah. Itu yang menjadikan final kali ini luar biasa,” tambahnya.
Dalam perebutan tempat ketiga, pasukan Fuhai FT mengatasi SAPD FC dengan kemenangan tipis 3-2.
Dengan kejayaan itu, skuad Merpati FC membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 beserta piala dan pingat, manakala Aqib X Kampung Boy FC selaku naib juara menerima RM3,000 bersama piala dan pingat.
Fuhai FT di tempat ketiga memperoleh RM2,000 beserta piala dan pingat, manakala SAPD FC tetap pulang dengan semangat juang dan setidaknya sebuah piala serta pingat sebagai pengiktirafan.
Lebih manis, penyerang berbisa Merpati FC, Haffizul Daud ditabal sebagai penjaring terbanyak sepanjang kejohanan dengan koleksi sembilan gol.
Bagi peminat skuad Merpati FC, ia bukan sekadar tentang kejuaraan, tetapi ia juga tentang menyaksikan bagaimana sebuah pasukan bangkit, bertahan, dan akhirnya terbang tinggi seindah nama mereka yang pernah menjulang kejuaraan dua tahun berturut-turut satu ketika dahulu.
Oleh Adi Safarman