SARIBAS: Jentera Wanita Parti Pesaka BumIputera Bersatu (PBB) yang dikenali sebagai Skuad Kasih Sayang di setiap kawasan diminta sentiasa aktif mendekati rakyat dan bukannya hanya muncul pada waktu pilihan raya.
Saranan itu dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam sambil menjelaskan bahawa peranan yang dimainkan oleh setiap ahli skuad tersebut adalah sangat penting dalam memastikan kebajikan rakyat terus dijaga.
“Ahli Skuad Kasih Sayang Wanita PBB Saribas harus sentiasa berada di samping rakyat dan kita tidak mahu ia hanya muncul pada waktu pilihan raya.
“Ini kerana ia akan menimbulkan tafsiran bahawa penubuhan skuad adalah lebih berunsurkan politik,” katanya pada Program Skuad Kasih Sayang Wanita di Kampung Supa, baru-baru ini.
Razi berkata, setiap skuad juga harus peka dengan masalah yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.
Dengan itu katanya, rakyat daripada golongan memerlukan akan dapat dibantu dengan baik sejajar dengan usaha kerajaan untuk sentiasa dekat dengan rakyat.
“Semua ahli skuad perlu kerap turun padang bagi mengesan orang yang memerlukan bantuan dan membantu mereka dengan segera.
“Ini secara tidak langsung akan memberi impak yang baik kepada rakyat sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri,” ujar Razi.
Skuad Kasih Sayang merupakan jentera wanita PBB untuk mendekati rakyat dengan kerjasama ketua kaum dan ketua masyarakat di setiap kawasan.
Penubuhan skuad ini merupakan satu usaha memastikan kerajaan sentiasa dekat dengan rakyat selain menunjukkan kasih sayang kepada masyarakat serta memastikan kebajikan rakyat terus dijaga dan diambil perhatian.
Jelas Razi lagi, kerajaan amat prihatin selain menunjukkan kasih sayang kepada masyarakat dan memastikan kebajikan rakyat terus dijaga dan diambil perhatian.
Katanya, kewajiban membantu rakyat merupakan agenda utama perjuangan beliau bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas.
Beliau juga menjelaskan bahawa wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipilih rakyat tidak hanya turun padang secara bermusim sebaliknya terus sentiasa mendekati rakyat sepanjang masa.
“Kita akan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Kita akan terus turun padang bertemu dan melihat sendiri keperluan rakyat selain bertukar maklumat berhubung perkembangan di kawasan yang kami wakili dan ini merupakan satu hubungan akrab sejak awal kita dipilih menjadi wakil rakyat,” tambahnya lagi.
Oleh ADI SAFARMAN