
SIMANGGANG: Skuad bola sepak RANDO Sri Aman kini berada pada tahap terbaik dan bersedia sepenuhnya untuk beraksi dalam Karnival Sarawak Civil Service (SCS) R&DO 2025 yang akan berlangsung di Kota Samarahan, 7 hingga 9 November ini.
Ketua jurulatihnya, Awang Irwandy Awang Yaman, berkata pasukan berkenaan telah menjalani persiapan rapi dan menunjukkan peningkatan positif dalam sesi latihan intensif yang diadakan sejak beberapa minggu lalu.
“Pasukan kita tidak akan gentar berdepan mana-mana lawan dan akan memberikan tentangan sengit kepada semua pasukan dalam acara bola sepak Karnival SCS di Samarahan,” katanya.
Menurut Awang Irwandy, fokus latihan bukan sahaja tertumpu kepada kekuatan fizikal, tetapi juga strategi permainan dan semangat berpasukan bagi memastikan prestasi mantap sepanjang kejohanan.
“Menerusi persiapan teratur dan disiplin tinggi pemain, saya yakin pasukan ini mampu memberi saingan hebat walaupun bakal berdepan pasukan yang lebih berpengalaman,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengurusan RANDO Sri Aman dan semua pemain atas komitmen serta semangat juang tinggi menjelang kejohanan itu.
Katanya, setiap pemain telah menunjukkan kesungguhan luar biasa dan bersatu hati dalam usaha mengharumkan nama Sri Aman di pentas karnival tersebut.
“Skuad bola sepak RANDO Sri Aman kini bertekad memberikan persembahan terbaik dan membawa pulang kejayaan untuk daerah ini di Kota Samarahan nanti,” ujarnya.
Karnival SCS ini dijangka menyaksikan sebanyak 12 pasukan berentap dalam acara bola sepak, melibatkan penyertaan daripada Pejabat Premier Sarawak, Pejabat Residen serta Pejabat Daerah seluruh negeri.
Oleh Adi Safarman